Anda di sini

Bangsa Melayu perlu ada jati diri tinggi pertahan agama dan maruah

Advertisement

SURABAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bangsa Melayu berpotensi tampil mempertahankan agama Islam, budaya dan maruah kaum itu jika mempunyai jati diri yang tinggi.

Baginda bertitah bangsa Melayu di Malaysia yang tidak boleh dipisahkan dengan Islam, juga perlu meningkatkan fahaman dan menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW agar mereka menjadi bangsa yang bermartabat.

“Apabila pegangan kuat maka jati diri akan diperkasa dan segalanya akan berada pada jalan yang benar…Insya-Allah,” titah baginda pada majlis santapan malam, bersempena Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa (SePMA) ketiga, di sini, Sabtu.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada majlis itu. Turut hadir, Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia, Dahlan Iskan.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pelajar Melayu secara khususnya perlu dibekalkan ilmu dan pendedahan yang secukupnya untuk membentuk disiplin dan sebagai pandu arah kepada tindakan serta sikap rasional mereka.

“Misalnya, jika diimbas kembali, dahulu anak-anak diajar ilmu persilatan bukan bertujuan menjadi samseng, perusuh di jalanan dan sebagainya. Tetapi yang nyata ialah mampu membangkitkan semangat jati diri, patriotisme dan kecintaan terhadap bangsa yang tinggi,” kata baginda.

Di majlis itu, baginda turut melancarkan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Surabaya serta World Intellectual Network (WIN).

Baginda berdua turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UniMAP dan tujuh rakan dalam kalangan universiti dan institusi pengajian tinggi serta organisasi di Jawa Timur dan Malaysia.

SePMA ketiga anjuran UniMAP dengan tema “Bersatu Mendepani Survival Melayu” itu, dirasmikan Presiden DMDI Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini (Ahad). Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Sementara itu, dalam kunjungan baginda ke syarikat akhbar terbesar di Indonesia, Jawa Pos, Tuanku Syed Faizuddin bertitah UniMAP akan memperkenalkan program Komunikasi Media Baharu di bawah Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) bermula 1 Sept depan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP, berharap menerusi penguasaan ilmu baharu yang diwujudkan di UniMAP itu, ia akan dapat melahirkan graduan yang lebih kompetitif, mampu bertindak dengan lebih cekap dan pantas serta membuat keputusan yang tepat.

Jawa POS merupakan syarikat akhbar yang diasaskan oleh Dahlan sebelum beliau dilantik sebagai menteri kabinet Indonesia. — Bernama

Advertisement