Anda di sini

ASAS tubuh jawatankuasa disiplin pantau disiplin perenang SUKMA

Advertisement

KUCHING: Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) menubuhkan jawatankuasa disiplin memantau dan meningkatkan disiplin perenang SUKMA XVII yang sedang menjalani latihan pusat di Pusat Akuatik Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Perkara itu didedahkan presidennya, Datuk Wee Hong Seng selepas bermesyuarat dengan jurulatih dan perenang semasa sesi latihan di sini.

Menurut Wee, jawatankuasa itu amat diperlukan kerana persatuan menekankan disiplin tinggi di kalangan perenang dan merupakan sebahagian sistem latihan sistematik dan program.

“Kita tidak akan berkompromi dengan perenang yang tidak berdisiplin termasuk menggugurkan perenang yang berpotensi menyumbang emas daripada skuad,” katanya.

Menurutnya, penyumbang pingat emas pada SUKMA lalu sudah pasti berasa mereka penting kepada negeri dan mungkin beranggapan tiada tindakan diambil terhadap mereka jika tidak berlatih dengan sebaik mungkin.

“Untuk menjadi atlet atau perenang cemerlang, seseorang mesti mempunyai disiplin tinggi. Tidak kira atlet kelas dunia sekalipun mustahil mampu bergelar juara dunia selama-lamanya,” ujarnya.

Pasukan renang Sarawak merangkumi 10 lelaki dan 10 wanita yang kebanyakannya dari luar Kuching.

Kecuali perenang kebangsaan Vernon Lee, Welson Sim dan Erika Kong, 17 lagi mengikuti latihan di pusat akuatik.

Sementara itu, Wee berkata ASAS sentiasa peka menyediakan persekitaran latihan kondusif kepada perenang SUKMA.

“Kita mahu perenang menumpukan kepada latihan, jadi mereka boleh memenangi pingat di Perlis nanti,” katanya.

Advertisement