Anda di sini

Persatuan Kayan sasar 5,000 ahli dalam tempoh lima tahun

Advertisement

MIRI: Persatuan Kayan Sarawak (PKS) menyasarkan 5,000 ahli berdaftar dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Presiden PKS dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, pihaknya akan menubuhkan cawangan baharu di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur, Sabah, Sibu dan Sungai Asap.

“Kita kini hanya mempunyai kurang daripada 2,000 ahli berdaftar di lapan cawangan di seluruh Sarawak,” ujarnya pada Majlis Perasmian Hari Keluarga PKS bertempat di Taman Selera Tanjong Lobang pada Hari Pekerja lepas.

Menurutnya, persatuan adalah wadah kepada komuniti berkenaan untuk berhimpun sekali gus dapat menyuarakan pendapat mereka sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

“Melalui persatuan, kita dapat berkumpul serta berinteraksi terutamanya yang berasal dari kampung dan kini turut menetap di bandar-bandar,” katanya.

PKS pada masa sama mahu mempunyai Penghulu di kawasan Miri, Bintulu dan Kuching terutama untuk membantu hal-hal berkaitan komuniti berkenaan.

Persatuan itu kini mempunyai lapan cawangan di Sarawak iaitu Miri, Kuching, Marudi, Long Lama, Nahah A, Long Bemang, Bintulu dan Wanita PKS.

Untuk bulan depan, pihak PKS akan menganjurkan satu makan malam secara besar-besaran yang dijangka dihadiri oleh 1,400 orang termasuk tetamu kehormat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Dennis pada majlis itu turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada PKS dan turut menyalurkan MRP jumlah sama daripada Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang.

Hadir sama Timbalan PKS Philip Ngo, exco-exco, ahli-ahli jawatankuasa, serta ahli persatuan berkenaan.

Advertisement