Anda di sini

Perpaduan parti, masyarakat Cina dan rakyat aspek utama transformasi MCA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perpaduan dalam parti, masyarakat Cina dan rakyat merupakan tiga aspek utama kempen transformasi MCA, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perpaduan dalam parti membolehkan MCA terus mara dan kekal teguh melalui interaksi dengan pertubuhan Cina bagi menetapkan hala tuju yang sama seterusnya menghasilkan pelan jangka panjang yang jelas.

“Dengan adanya penerimaan dan sokongan daripada kerajaan terhadap pelan masyarakat Cina, maka kaum Cina akan bekerjasama dengan kaum lain secara lebih erat dan berganding bahu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Perpaduan MCA bertema ‘Teguh Bersama’ di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman semalam.

Liow, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Transformasi MCA, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pertubuhan Cina, pemimpin perniagaan serta ahli akademik melalui dialog mengenai pelbagai program dari segi politik, ekonomi, budaya, pendidikan, belia dan wanita bagi menyediakan pelan transformasi jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Program ini merangkumi isu seperti menggalakkan penyertaan belia Cina mengikuti latihan vokasional, pengiktirafan kerajaan terhadap peperiksaan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan pembinaan memorial Tun Tan Cheng Lock supaya sejarah dan sumbangan kaum Cina dapat diiktiraf,” katanya.

Liow juga berkata MCA sedang menyediakan satu rangka kerja berkonsepkan ‘Pengiktirafan Kaum Cina, Perpaduan Rakyat dan Bersaing di Peringkat Dunia’ yang membolehkan semua rakyat mendapat faedah daripada perkembangan pesat badan ekonomi di rantau Asia. — Bernama

Advertisement