Anda di sini

MCA tunggu kata putus PM berhubung jawatan Kabinet

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu akan menunggu kata putus daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jawatan kabinet selepas parti itu memutuskan menyertai semula Kabinet.

“Perdana Menteri mengalu-alukan keputusan MCA menyertai semula Kabinet namun, keputusan untuk menentukan jawatan Kabinet akan dibincangkan dan (kita) tunggu kata putus daripada Perdana Menteri mengenai jawatan yang ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program “Teguh Bersama’ MCA oleh Perdana Menteri di sini semalam.

Resolusi untuk tidak menyertai kabinet tercetus apabila perhimpunan agung MCA 2011, yang ketika itu di bawah pimpinan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika ia gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Liow berkata selama ini pucuk pimpinan tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain juga turut mengharapkan penyertaan semula MCA dalam Kabinet kerana parti itu sebelum ini terikat dengan resolusi akibat kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan 13.

Resolusi itu diperakukan semula dalam perhimpunan agung MCA pada 2012 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa parti pada 20 Okt tahun lepas.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei 2013, MCA merekodkan prestasi terburuknya selepas hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri yang ditandinginya. — Bernama

Advertisement