Anda di sini

Langkah transformasi dalaman MCA tepat pada masanya: Najib

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau melihat kesediaan MCA melakukan transformasi dalaman sebagai langkah yang tepat pada masanya bagi membolehkan parti berkenaan terus relevan dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina.

Perdana Menteri berkata langkah transformasi dalaman itu disertakan bersama pelan penyertaan MCA dalam penggubalan rangka kerja bagi memperkukuhkan masa depan komuniti Cina di negara ini.

Katanya, setiap anggota parti juga seharusnya mengambil kira perkembangan semasa dalam kepimpinan parti dan bersama-sama merealisasikan hala tuju masa depan parti yang mampu memberi manfaat kepada anggotanya, rakyat dan negara.

“Bermula dengan perubahan dalaman, MCA perlu melihat segala kekuatan yang sedia ada serta berani melihat segala kelemahan yang masih membelenggu parti itu selama ini,’ katanya semasa berucap melancarkan Perhimpunan Perpaduan MCA yang bertemakan “Teguh Bersama” di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

Najib berkata cabaran dalam kepimpinan dalam MCA selama ini telah membawa kepada kelemahan dalam parti itu, dan oleh itu, kepimpinan parti perlu mewujudkan rasa kebersamaan dalam parti berkenaan untuk mencapai semula zaman kecemerlangan itu.

“Ia mudah dikata daripada dilakukan. Dalam pengalaman saya, UMNO juga mempunyai masalah tetapi kita perlu menangani masalah kita. MCA juga seperti parti lain perlu menangani masalah dalaman,” kata Najib.

Oleh ktu, Najib berkata MCA perlu menunjukkan semangat baharu dan sedia berubah untuk terus kekal relevan kerana parti itu telah sampai ke persimpangan yang kritikal dalam sejarahnya dan ini mungkin peluang terakhir untuk MCA.

“Bagi masa depan MCA, anggota parti itu perlu bersedia untuk bangkit, bangun bersama dan bekerjasama untuk lebih komited bagi menghidupkan semula MCA demi kebaikan parti itu sendiri, Barisan Nasional dan negara,” katanya.

Sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Najib mengakui dan menghargai MCA sebagai rakan kanan dalam parti komponen itu.

“Saya mahu MCA sedar dan berasa bahawa Umno dan BN perlukan anda (MCA) dan anda (MCA) perlukan UMNO dan BN. Pada asasnya, hubungan di antara kepimpinan orang Melayu dan orang Cina terjalin sejak zaman Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Razak (Hussein) yang menampakkan kerjasama itu berjaya sehingga hari ini,” katanya.

Walaupun generasi muda tidak sedar detik-detik mencemaskan dalam sejarah mencapai merdeka, Najib berkata generasi tua lebih mengetahui dan menghargai perpaduan, kepercayaan dan keikhlasan adalah dasar penting bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya.

“Inilah apa yang diperlukan BN dan MCA hari ini. Semuanya mengenai keikhlasan dan kejujuran antara satu sama lain. Ini bukan soal menang pilihan raya umum akan datang. Ia mengenai pembinaan negara yang bermakna kami adalah rakan bagi menyelesaikan masalah kita bersama.

“Kami beri sedikit ruang, dan perbezaan pendapat dalam lingkungan keluarga BN selagi ia boleh dilihat secara positif. Walaupun kita berbeza, dalam gambaran yang lebih besar, kita semua mempunyai impian, visi dan aspirasi yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana menteri menegaskan bahawa MCA adalah rakan penting dalam BN dan parti itu mesti kekal sebagai suara dan hati nurani masyarakat Cina di negara ini.

“Inilah harapan saya bahawa apabila kita bersemangat, dengan tema Teguh Bersama, kita akan menepati janji, dan berkhidmat. Saya mengharapkan MCA, sebanyak mana MCA mengharapkan saya dan BN.

“Kita akan membuktikan kepada rakyat bahawa BN masih pilihan terbaik untuk Malaysia. Saya juga ingin melihat MCA menjadi parti lebih kuat dan rakan kongsi BN yang berjaya,” katanya.

Mengulas mengenai Kempen Teguh Bersama MCA, Najib berkata Perhimpunan ini merupakan titik permulaan kepada pemulihan parti itu untuk terus berganding bahu menyumbang kepada pembangunan Malaysia bagi membina sebuah negara yang kuat dan dihormati negara luar.

“Kita mestilah bekerjasama dan bersatu padu untuk membina kekuatan yang lebih teguh. Saya berharap bahawa program Teguh Bersama ini dapat menyatupadukan masyarakat Cina dan juga masyarakat Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement