Anda di sini

Kerajaan galak acara sukan bersifat ekopelancongan

Advertisement

PROMOSI MIRI: Dennis (empat kanan) melakukan sepak mula sebagai simbolik perasmian Fiesta Bola Sepak Antarabangsa Borneo FBSB di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program yang boleh mempromosi serta merancakkan sukan bertaraf ekopelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, penglibatan NGO dalam mempromosi sukan bersifat ekopelancongan dilihat dapat menarik kemasukan wang asing.

“Inisiatif yang diambil badan korporat atau NGO dalam melaksanakan aktiviti yang melibatkan pengaliran masuk wang asing harus dipuji dan ia digalakkan kerajaan,” ujarnya.

Berucap pada Majlis Perasmian Fiesta Bola Sepak Antarabangsa Borneo Kelab Bola Sepak Fatimah Bersatu (FBSB) di sini semalam, Dennis berharap NGO akan merencanakan lebih banyak program berbentuk sukan.

Beliau memberitahu, tidak semua badan korporat atau NGO yang mampu melaksanakan program ekopelancongan sebaliknya jumlah terbabit perlu ditambah dari semasa ke semasa.

“Pujian harus diberikan kepada pihak Kelab Bola Sepak Fatimah Bersatu yang telah berjaya menarik kehadiran negara- negara jiran untuk menyertai program fiesta ini,” ujarnya.

Dennis memberitahu, fiesta itu disertai oleh pasukan-pasukan dari Thailand, Singapura, Brunei Darussalam dan pasukan tempatan.

“Ia membuktikan peserta dari negara luar berminat untuk datang ke Malaysia khasnya Miri.

Dengan erti kata lain, mereka berminat untuk meneroka bandar raya peranginan kuda laut ini,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden FBSB Sazali Abdul Rahman berkata secara objektifnya, fiesta itu dianjurkan bagi mempromosikan Miri melalui kegiatan sukan kepada negara-negara luar.

Pada tahun lepas, katanya, 15 pasukan mengambil bahagian pada fiesta itu, manakala bagi tahun ini ia mendapat sambutan luar biasa apabila disertai 22 pasukan.

“Kita menjangka jumlah ini akan bertambah pada penganjuran akan datang dengan menyasarkan penyertaan dari negara- negara Asia yang lain untuk bertandang ke Miri,” katanya.

Sazali memberitahu, meskipun fiesta berkenaan hanya bersifat perlawanan persahabatan dengan pemain bola sepak negara luar, namun penganjurannya telah mencapai objektifnya.

 

Advertisement