Anda di sini

Keputusan bukan untuk menangkan mana-mana puak SUPP, kata Dr Rundi

Advertisement

KUCHING: Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom yakin keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap SUPP bukan untuk memenangkan mana-mana puak bercanggah dalam parti itu.

Menurutnya, keputusan untuk tidak membatalkan pendaftaran parti itu wajar dilihat dua puak terbabit sebagai peluang untuk mencari titik penyelesaian kemelut sejak 2011.

Sambil menegaskan ulasannya ini bukan untuk mencampuri urusan dalaman SUPP, beliau berkata sebaik-baiknya pihak bercanggah pendapat dapat berdamai dan menumpukan agenda pengukuhan parti.

“SUPP adalah satu parti dalam BN dan sudah pasti kita berharap mereka berdamai. Dengan surat daripada ROS itu, harap mereka dapat duduk bersama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut berkata, keputusan ROS itu adalah dilakukan dengan profesional dan tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak.

“Alasan (menerusi jawapan surat tunjuk sebab) yang diberikan kepada ROS adalah munasabah,” ujarnya.

Mengenai kenyataan Pengerusi SUPP Simanggang Datuk Francis Harden Hollis yang kini sedia bekerjasama dengan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin, beliau bersikap neutral dalam mengulas isu tersebut.

Katanya, apa yang mustahak sekarang ialah semua pihak dalam parti berkongsi satu agenda iaitu berdamai demi manfaat parti dan BN secara keseluruhan.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan dan ADUN Simanggang sebelum ini memihak kepada kem dipimpin Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh.

Harden berkata, keputusan itu adalah demi kebaikan parti seperti dikehendaki Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Dr Rundi berkata lagi, dalam istilah BN tidak wujud mana-mana kem dalam SUPP.

“Semua mereka dalam BN, tidak ada kem A atau kem B,” katanya.

Sementara itu, Chin ketika dihubungi enggan mengulas panjang lebar berhubung kenyataan Harden.

“Saya maklum tentang berita disiarkan oleh akhbar hari ini (semalam) tetapi saya tidak mahu komen. Tunggu semua berdamai,” katanya.

Advertisement