Anda di sini

Ibu bapa ‘antivirus’ bendung anak ‘dijangkiti’ sikap buruk

Advertisement

MIRI: Ibu bapa dan penjaga adalah ‘antivirus’ yang membendung anak-anak daripada ‘dijangkiti’ sikap-sikap buruk pada usia muda.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin mengibaratkan kanak-kanak sebagai sebuah komputer baharu yang memerlukan perisian iaitu ibu bapa untuk memprogramkan komputer berkenaan atau membimbing anak mereka.

Ibu bapa dan penjaga, katanya, harus menonjolkan kelakuan yang baik kerana mereka adalah contoh atau model yang menjadi ikutan anak ketika kecil.

“Apa yang mereka (kanak-kanak) lihat, mereka akan buat. Kita (dewasa) adalah model kepada mereka. Oleh itu, kita menjadi model yang baik khasnya ketika mengajar mereka.

“Kelakuan dan sikap kita mempengaruhi proses pembelajaran mereka khasnya ketika mereka sedang membesar,” tambah Lee.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Tadika dan Taska Miri Keenam di Restoran Boulevard di Pusat Komersil SABERKAS, semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menghargai sumbangan guru-guru tadika dan taska dalam memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak.

Pada majlis itu, Lee turut mengumumkan sumbangan geran berjumlah RM20,000 untuk keperluan persatuan memperluaskan peranannya dan dana penganjuran aktiviti.

Majlis turut menyaksikan pelantikan ahli jawatankuasa persatuan sesi 2014-2015 dan penyampaian anugerah perkhidmatan lama kepada 13 ahli.

Hadir sama ialah Datuk Sebastian Ting yang menyampaikan insentif pelajar cemerlang kepada anak-anak ahli.

Advertisement