Anda di sini

Ernest janji kembali hasilkan lebih banyak lukisan mural

Advertisement

TARIKAN SENDIRI: Ernest menyiapkan lukisan mural pada dinding Rumah Panjang Annah Rais, Puncak Borneo.

PELUKIS mural terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic bakal kembali semula ke Sarawak untuk menghasilkan lebih banyak karya muralnya di sini.

Perkara itu didedahkan Ernest apabila hasil lukisan muralnya mendapat sokongan dan sambutan yang amat baik di kalangan rakyat Sarawak, khasnya penduduk di sekitar bandar raya Kuching.

“Saya datang ke Kuching beberapa hari lalu.  Saya suka bandar raya ini dan penduduknya.  Mungkin saya akan kembali semula ke sini untuk menghasilkan lebih banyak lukisan mural,” katanya pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuching baru-baru ini.

Pada masa sama beliau turut tertarik dengan reka bentuk bangunan di bandar raya ini yang amat menarik dan ada nilai sejarah tersendiri.

“Selepas Kuching saya akan menjelajah ke beberapa tempat lain di Malaysia,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai hasil lukisannya, Ernest memberitahu sebelum lukisan itu dibuat beliau akan meneliti terlebih dahulu situasi atau latar belakang sesebuah tempat.

“Dalam fi kiran saya orang utan kerana ia antara haiwan yang popular di negeri ini termasuk di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

JADI TUMPUAN: Lukisan mural anak orang utan di Jalan Power,
Lebuh India menjadi tarikan pengunjung di kawasan itu.

Ditanya sama ada lukisan itu tersirat maksud tersendiri, Ernest berkata: “Ia hanya sekadar lukisan mural yang menarik orang ramai untuk melihatnya dan terpulang kepada individu itu sendiri untuk menilai maksud lukisan itu.

” Tambah beliau, penggunaan bahan sokongan seperti kereta sorong pada lukisan muralnya itu bagi memberi kesan dimensi kepada orang yang melihatnya.

Pada 27 April lalu, Ernest menghasilkan dua lukisan pada dinding kedai di Jalan Power, Lebuh India iaitu lukisan sekumpulan anak orang utan bermain di dalam kereta sorong dan seekor lagi bergayut pada batang paip.

Satu lagi lukisan muralnya di Rumah Panjang Annah Rais, Puncak Borneo menunjukkan seorang kanak-kanak sedang bermain di dalam sampan.

Sementara itu, Pengarah Spago Property Sdn Bhd Tony Su berkata, pihaknya merancang untuk membawa semula Ernest ke negeri ini untuk menjayakan beberapa lagi projek yang sama di sini.

“Kita merancang untuk menghasilkan beberapa lagi lukisan mural di lokasi terpilih di negeri ini,” ujarnya.

 

Advertisement