Anda di sini

All Star SPPS juarai Piala YB Datuk Fadillah Yusuf

Advertisement

RAIKAN BERSAMA: Pemain All Star meraikan kejayaan menjuarai Piala YB Datuk Haji Fadillah Yusuf 2014. All Star menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Bekas pemain era Ngap Sayot nyata masih berbisa apabila berjaya membantu All Star SPPS menjuarai Piala YB Datuk Haji Fadillah Yusuf 2014 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negeri kelmarin.

All Star menundukkan AXIS FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh permainan sebenar dan masa tambahan.

Penjaga gol All Star Zamaludin Majidi muncul wira setelah berjaya menyelamatkan sepakan penalti Mohd Sharizan Sahari, sekali gus memastikan skuad bimbingan Roslan Mustapha itu muncul juara.

“Syukur kerana kita berjaya menjuarai kejohanan ini buat pertama kalinya,” komen Roslan selepas perlawanan tamat kelmarin.

“Syabas juga saya ucapkan kepada kesemua pemain kerana memperagakan permainan yang cukup cemerlang.

“Sekali pun sebahagian daripada pemain kita sudah lanjut usia namun mereka masih mampu memberikan aksi terbaik demi untuk membantu kita menjuarai kejohanan ini,” tambahnya lagi.

Roslan turut merakamkan tahniah kepada pemain AXIS kerana memberikan tentangan sengit kepada anak-anak buahnya.

Bagi pengurus AXIS Iswandi Ali Hassan, beliau menerima kekalahan skuadnya namun tetap memuji persembahan anak-anak buahnya.

“Kita telah mencuba sedaya upaya dan pemain telah memberikan yang terbaik. Namun nasib jelas tidak memihak kepada kita.”

AXIS mendahului permainan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma Iswandi dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan oleh Zamaludin.

Tersentak dengan jaringan itu, All Star mula bangkit dan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi rangkaian bekas pemain Ngap Sayot, Ramos dan Ramles Sari, Bobby Pian, Mohd Ali Shapie dan Zakariato Gobel.

Namun, jaringan penyamaan gagal ditemui hingga berakhir babak pertama.

All Star akhirnya berjaya menyamakan kedudukan setelah penjaga gol AXIS Ghani tertampan bola ke dalam gawang sendiri hasil sepakan sudut Ramos Sari pada minit ke-58.

Permainan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan dalam masa tambahan.

Perlawanan kelmarin turut disaksikan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Advertisement