Anda di sini

Umat Islam perlu bantu kerajaan dalam usaha perlaksanaan CBP

Advertisement

KUANTAN: Umat Islam sepatutnya tidak menyalahkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP), sebaliknya perlu ada sikap membina dan membantu kerajaan dalam menyokong usaha tersebut.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkata Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan asalkan ia mengikut syarak dan tidak menzalimi rakyat.

“Kita meminta umat Islam tidak hanya menyalahkan tentang cara kerajaan mengutip cukai yang merupakan satu sistem dilakukan beberapa negara di dunia termasuk Malaysia.

“Kalau sistem (CBP) itu baik dan tidak menzalimi rakyat, maka perkara tersebut dibenarkan oleh syarak,” katanya selepas perasmian Karnival Muamalat dan Cinta Rasul yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Beliau berkata sistem me-ngutip cukai bukan perkara baharu, malah ia telah dilaksanakan sejak zaman Saidina Omar lagi dengan segala hasil cukai dimasukkan ke dalam Baitulmal untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya kerajaan juga telah dan sedang memberikan penerangan mengenai CBP kepada orang ramai supaya rakyat jelas mengenai sistem yang akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Menurutnya sesiapa sahaja yang mempunyai cadangan yang lebih baik daripada CBP, ia sepatutnya dikemukakan kepada kerajaan dan bukan mengadakan perhimpunan  atau demonstrasi. — Bernama

Advertisement