Anda di sini

Taska 24 jam dirancang untuk wanita bekerja syif

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

RASMI: Rohani menumbuk padi sebagai simbolik perasmian Persidangan SISWP of Clubs 2014 di BCCK, semalam.

Kerajaan sedang buat kajian tentang SOP, prihatin bilangan wanita bekerja makin meningkat: Rohani

KUCHING: Prihatin dengan nasib dan kesukaran go­longan wanita yang bekerja syif, taska 24 jam dirancang untuk dibina di tempat kerja bagi membolehkan mereka menempatkan anak masing-masing.

Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyar­akat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini perkara tersebut masih dalam kajian terutama dari segi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, jika ia dapat direalisasikan nanti golongan wanita yang bekerja sebagai jururawat, doktor dan pekerja kilang tidak lagi perlu berasa risau dengan anak-anak.

“Kita memang memikirkan tentang masalah yang diha­dapi golongan wanita bekerja syif terutama dalam aspek menjaga anak-anak.

“Jadi, kita merancang un­tuk mewujudkan taska 24 jam agar anak-anak dapat ditempatkan semasa mereka bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Soroptimist International South West Pacific (SISWP) of Clubs 2014 di Pusat Kon­vensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Per­tanian Datuk Mong Dagang dan Presiden SISWP Puan Sri Siew Yong Gnanalingam.

Rohani menjelaskan, ke­menteriannya juga telah berbincang dengan ibu muda yang bekerja sebagai profe­sional berhubung perkara itu.

“Bagi saya, ia merupakan permintaan yang patut me­mandangkan bilangan wanita bekerja semakin meningkat,” ujarnya.

Buat masa ini, menurutnya, hanya sebuah hospital yang mempunyai taska 24 jam.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya turut bek­erjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membolehkan peker­jaan dapat dijalankan di rumah.

“Ini penting agar ibu tidak lagi perlu mencari taska dan mereka sendiri boleh men­jaga anak masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, Rohani ber­kata masalah pembantu ru­mah lari dilihat mampu diatasi dengan pengenalan program pengurusan rumah.

Di bawah program itu, beliau berkata pembantu rumah akan bekerja secara bergerak dari rumah ke ru­mah dan mengikut masa yang ditetapkan.

Menurutnya, ia merupakan langkah terbaik untuk mem­bantu keluarga yang meng­hadapi kesukaran mencari pembantu rumah sepenuh masa.

“Program ini lebih kepada pembantu rumah bergerak. Mungkin bekerja dua jam sehari untuk mencuci paka­ian atau menjaga anak,” katanya.

Menurutnya lagi, pro­gram seperti itu juga boleh dijadikan sektor perniagaan dan memberi peluang kepada wanita termasuk ibu tunggal untuk bekerja.

“Saya melihat program ini boleh dijadikan kepada sektor perniagaan baharu.

“Golongan wanita ter­masuk ibu tunggal juga akan mendapat manfaat terutama untuk bekerja bagi membantu keluarga masing-masing,” ujarnya.

Beliau menambah, ke­menteriannya sentiasa berusa­ha untuk mencari pendekatan terbaik untuk membantu keluarga yang menghadapi masalah mencari pembantu rumah.

“Kita sedar sekarang, sukar juga untuk menem­patkan pembantu rumah sepenuh masa kerana ma­jikan perlu menyediakan bilik tidur dan kemudahan lain,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap, Rohani memberitahu, kera­jaan menyasarkan 55 peratus golongan wanita di negara ini terlibat dengan tenaga kerja menjelang 2015.

“Saya gembira melihat setakat ini bilangan wanita bekerja meningkat daripada 46.8 peratus pada 2010 ke­pada 49.5 peratus (2012).

“Pada tahun lepas, bilangan wanita bekerja mencecah 52.4 peratus dan trend positif ini amat baik,” kata Rohani.

 

Advertisement