Anda di sini

SUPP Piasau buka semula pusat perkhidmatannya

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa

 

DIBUKA SEMULA: Ting dibantu yang lain meletakkan kembali carta organisasi SUPP Piasau.

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau petang semalam membuka kembali pusat perkhidmatan cawangannya di sini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menarik balik pembatalan perdaftaran bagi dua cawangan SUPP itu di Piasau dan Bekenu pada Rabu lalu.

Pengerusinya Datuk Sebastian Ting, melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang telah banyak membantu dan memberi sokongan terhadap parti terbabit.

“Kita telah melalui pelbagai rintangan disebabkan persengketaan dalaman yang berlaku tersebut yang telah memberikan kesan kepada jawatankuasa dan rakyat.

“Namun, dengan berita yang menggembirakan ini, kita berharap sokongan serta kerjasama diberikan seperti sedia kala kerana rakyat tetap menjadi keutamaan SUPP,”  jelas beliau pada sidang media yang diadakan di sini petang semalam.

Menurut Ting, beliau mahu semua ahli parti terbabit terus memberikan contoh yang baik kepada rakyat sejajar dengan keutamaan parti itu dalam mengukuhkan keharmonian serta perpaduan yang sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, Ting turut memberitahu bahawa JPPM bersetuju untuk memberi pengecualian ke atas Fasal 9 (4) Perlembagaan SUPP berhubung kutipan yuran ahli yang akan dilanjutkan untuk tempoh sehingga 15 Mei ini bagi tujuan pihak ahli jawatankuasa mengemas kini kutipan yuran tersebut selaras dengan Persidangan Deligasi Tiga Tahun Sekali (TDC) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Tempoh penangguhan untuk mengemukakan bayaran bagi memperbaharui keahlian untuk kedua-dua cawangan tersebut dilanjutkan sehingga 15 Mei.

“Mereka yang ingin membuat pembayaran berkenaan, digalakkan untuk hadir ke pejabat SUPP Piasau (Miri) atau Bekenu dalam tempoh tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ting turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh pilihan raya cawangan yang dijangka akan diadakan sekitar Julai depan.

Katanya, pilihan raya berkenaan sepatutnya dilakukan beberapa bulan yang lalu dan setelah JPPM menarik balik pembatalan pendaftaran itu, pihaknya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang perlu dilakukan.

Advertisement