Anda di sini

SSPDRM umpama peluang kedua menjadi polis

Oleh Saibi Gi dan Sandy Mark Luna

 

SEDIA BERKHIDMAT: Inspektor Bahagian Pencegahan/Pembanterasan Jenayah IPD Kuching Lucas Apin (dua kanan) bersama anggota SSPDRM IPD Kuching (dari kiri) Jee, Narub dan Mooi.

KERANA minat! Bukan sekadar minat tetapi mereka mencintai masyarakat yang bebas jenayah, justeru mereka memilih untuk menjadi polis.

Tidak berjaya menyertai pasukan polis sepenuh masa kerana tidak menepati syarat-syarat dikehendaki, itu bukan penghalang untuk berbakti kepada masyarakat dengan adanya Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Ini bukan satu pasukan yang baharu ditubuhkan dalam polis. Cuma ia agak menonjol kebelakangan ini di mata umum ekoran pengambilan anggota baharu dilakukan dengan publisiti meluas.

Sukarelawan polis terdiri daripada orang awam yang diberi kuasa polis untuk menguatkuasakan undang-undang serta memastikan keamanan dan keselamatan kawasan setempat.

Sukarelawan polis ditubuhkan pada 1957.

Anggota SSPDRM yang terdiri daripada orang awam ini kebanyakannya adalah dari kalangan golongan profesional seperti peguam, guru, doktor, ahli perniagaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan juga swasta.

Disebabkan minat begitu mendalam terhadap bidang kepolisan ini, golongan ini terpanggil untuk menyertainya.

Kewujudan SSPDRM ini bukan sahaja memberi peluang untuk menjiwai kehidupan sebagai seorang anggota polis malahan memberi ruang bagi mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Gambaran itu mungkin sesuai bagi Ketua SSPDRM IPD Kuching Inspektor Narub Bager Jendit, 51, yang sejak remajanya ingin menjadi seorang anggota polis.

“Saya minat untuk menjadi polis sejak dari dulu, tetapi tidak dapat ditunaikan kerana mata rabun,” ujarnya dalam nada penuh semangat.

Bertugas sebagai Juruaudit Kanan di Sarawak Energy Berhad, Narub yang berketurunan Bidayuh amat tertarik melihat kesegakan anggota polis ketika mengenakan pakaian seragam.

Dengan minat mendalam terhadap tugas kepolisan, beliau yang ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menganggap tugas polis sebagai cara untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Elaun sukarelawan bagi beliau bukan agenda utama tetapi yang mustahak dapat memberi sumbangan dalam menjamin ketenteraman dan keselamatan awam.

Kebijaksanaan menyusun jadual tugas kerja sebenar dan masa bersama keluarga, menjadikan tugas sebagai polis sukarela tidak menimbulkan beban sejak beliau menyertai pasukan itu pada 2005.

“Tugas sebagai polis sukarelawan kebanyakannya dilakukan pada waktu petang selepas habis kerja sebenar atau pada hujung minggu sahaja,” jelasnya.

Menyifatkan hubungan baik antara polis sukarelawan dengan polis sebenar mampu meningkatkan mutu perkhidmatan polis, Narub sering menyertai operasi seperti Ops Cantas dan ‘jaga bola’.

“Cabaran ketika terlibar dalam operasi memang ada tetapi ia harus dihadapi dengan tabah,” ujarnya yang menyeru belia agar turut menyertai SPPDRM.

Bagi Penyelaras Operasi dan Latihan SSPDRM IPD Kuching Konstabel Jee Tze Choon, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk terus berkhidmat sebagai polis sukarela sejak 2007.

Jelasnya, ahli-ahli keluarganya meskipun berketurunan Tiong Hua, amat menggalakkan penyertaannya dalam polis.

Tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila tidak dipanggil menghadiri temu duga untuk mengikuti latihan sebagai Inspektor pada 2003.

Pemuda 37 tahun itu yang pernah ditugaskan di Balai Polis Sekama, Balai Polis Pusat dan Balai Polis Batu Kawa, menjelaskan tugas sebagai polis amat menyeronokkan.

Disebabkan seronok Jee yang mempunyai seorang cahaya mata berumur 4 tahun, tidak pernah kesal apabila mengalami kecederaan hingga meninggalkan parut di lengan kanannya.

“Parut ini meninggalkan kenangan kerana saya jatuh waktu mengejar seorang warga Indonesia yang mabuk ketika menyertai operasi,” katanya yang pada ketika itu ditugaskan di Balai Polis Batu Kawa.

Sementara itu, Mooi Poh Kong yang pernah melupakan hasrat menjadi pegawai polis selepas ditawarkan sebagai penolong pengarah dalam sebuah kementerian seoalah-olah ditakdirkan untuk membantu memelihara keamanan dan mencegah jenayah apabila sektor awam menggalakkan penjawat awam untuk terlibat aktif dalam kegiatan luar.

Dengan peluang tersebut, beliau memilih untuk berkhidmat dalam SSPDRM sebagai landasan bergiat aktif dalam bidang kesukarelawan dan berpeluang berbakti kepada masyarakat.

“Sebenarnya saya pernah menghadiri temu duga sebagai Inspektor Polis pada 1996 namun pada masa yang sama saya mendapat jawatan sebagai penolong pengarah dan kemudiannya terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi polis.

“Sebagai penjawat awam, kita diperlukan untuk terlibat secara aktif dengan kegiatan luar dan hakikat saya pernah lulus temu duga Inspektor Polis menyemarakkan minat saya berminat menyertai SSPDRM,” katanya.

Berasal dari Taiping, Perak, beliau yang bermula sebagai konstabel SSPDRM di Kuala Lumpur pada tahun 1997 kini menyandang pangkat Inspektor Pentadbiran SSPDRM IPD Kuching selepas ditugaskan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Negeri Sarawak sebagai Pengarah pada tahun lepas.

Mengimbau kembali pengalamannya ketika menjaga keamanan semasa perlawanan bola sepak di Stadium Nasional, Kuala Lumpur, antara tugas mencabar dialaminya adalah ketika penyokong bertindak agresif dan saling membaling botol.

Justeru katanya, peranan SSPDRM amat penting bagi membantu meringankan beban pasukan polis dalam membanteras jenayah dan menjaga keamanan.

Meskipun memikul tanggungjawab yang besar di pejabat, namun bapa kepada dua orang anak itu akan memastikan peranannya dalam SSPDRM tidak dilupakan dengan meluangkan sekurang-kurangnya tiga hari seminggu di IPD Kuching.

Isteri Mooi bekerja di syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala anak sulungnya, 24 tahun, merupakan seorang guru dan anak bongsunya masih melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti.

“Memandangkan ahli keluarga saya semua di ibu negara, maka saya mempunyai banyak masa terluang selepas waktu pejabat sekali gus membolehkan saya memberi tumpuan dalam aktiviti kesukarelaan,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda, khasnya kepada masyarakat Cina untuk memainkan tanggungjawab sosial korporat masing-masing bagi menyumbang ke arah keamanan.

“Kita memerlukan lebih ramai golongan tersebut dalam SSPDRM untuk menjadi mata dan telinga polis dan dengan penambahan anggota, saya yakin banyak khidmat masyarakat yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau yang berumur 54 tahun akan bersara dalam SSPDRM pada tahun hadapan.

Seorang ibu tunggal yang berusia 38 tahun pula menganggap penyertaannya dalam SSPDRM adalah untuk merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang anggota polis, seperti bapanya.

Akibat tentangan daripada bapanya yang khuatir beliau tidak cukup kental daripada segi fizikal dan mental, Dayangku Mulia Awangku Ahmad terpaksa melupakan hasrat itu seketika dan kini bekerja di syarikat swasta sebagai kerani perakaunan.

Namun disebabkan minat mendalam, ibu kepada dua cahaya mata yang masing-masing kini berumur 20 tahun dan 7 tahun itu cekalkan hati dengan memohon untuk memasuki SSPDRM tanpa pengetahuan bapanya pada tahun 2007.

“Bapa saya tidak membenarkan saya menyertai pasukan kerana khuatir saya tidak mampu tahan secara fizikal atau mental namun rahsia saya akhirnya bocor juga selepas memohon secara senyap-senyap apabila bapa menemui surat (penerimaan).

“Sambil memegang surat tersebut dia bertanya jika saya mampu bertahan atau tidak dan saya menganggap itu merupakan cabaran daripadanya yang perlu disahut,” katanya yang kini memasuki tahun kelapan dalam SSPDRM.

Dayangku yang memegang pangkat Konstabel memberitahu, beliau mempelajari banyak perkara sepanjang perkhidmatannya, termasuk mengalami pengalaman mendebarkan kerana peranan dimainkan adalah sama seperti anggota polis biasa sejurus menggunakan pakaian seragam polis.

Katanya, dunia awam akan ditinggalkan seketika apabila menggunakan pakaian seragam polis untuk bersama-sama membantu menjaga keamanan dan ketenteraman awam di seluruh ceruk kawasan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.

“Antara kejadian yang saya masih ingat sehingga kini ialah pergaduhan yang berlaku di Tebingan Kuching menggunakan kerambit, ketika saya masih bertugas di Balai Polis Sentral dahulu dan bagi kita yang sebenarnya masih orang awam, peristiwa seperti itu amat mendebarkan,” katanya.

Tugas beliau kini lebih menfokuskan kepada hal ehwal pentadbiran SSPDRM di IPD Kuching.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa pejabat, keluarga dan tugas SSPDRM, beliau melahirkan kesyukuran kerana mendapat majikan dan keluarga yang prihatin dan memahami.

“Saya berharap lebih ramai kaum wanita tampil menyahut cabaran dan berganding bahu dengan pasuka n polis dalam membanteras jenayah,” katanya.