Anda di sini

Produk makanan perlu berkualiti

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

 

BINTULU: Aspek kualiti, kreativiti dan kesegaran dalam setiap produk makanan tempatan yang dihasilkan perlu dititikberatkan oleh usahawan tempatan.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata, dengan menekankan aspek itu produk itu berpotensi untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negeri.

Katanya, untuk tujuan itu, pihaknya akan menyediakan peruntukan RM10,000 bagi pengusaha yang berminat menceburi bidang tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata, tiga usahawan kecil Bumiputera akan dikenal pasti bagi mendapatkan peruntukan yang disediakan oleh SEDC itu.

“Kerajaan tidak ingin melihat mana-mana pihak tertinggal, justeru kita akan cuba untuk membantu usahawan kecil-kecilan yang ingin memajukan diri dan perniagaan yang mereka jalankan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Makanan dan Barang-Barang Makanan 2014 anjuran Persatuan Usahawan Kecil Bumiputera (PUKB) Bintulu di Dataran Esplaned di sini, kelmarin.

Talib turut menyeru agar usahawan Bumiputera mengambil peluang yang disediakan dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti produk yang mereka hasilkan.

Sementara itu, Pengerusi PUKB Bintulu Pengiran Merais Pengiran Ismail berkata, pesta itu bertujuan mendorong lebih ramai usahawan Bumiputera agar bergiat aktif dalam bidang keusahawanan dan ekonomi sejajar dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kita ingin mempromosi dan memperkenalkan makanan serta barangan tempatan yang berpotensi untuk dikomersilkan,” tambahnya.

Selain itu, katanya, program itu dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli, mewujudkan jaringan kerjasama perniagaan dan berkongsi ilmu berkaitan.

Katanya, yang penting juga adalah peluang-peluang perniagaan pada masa kini dapat diperluaskan di kawasan ini.

Beberapa aktiviti diadakan pada program tersebut iaitu senaman zumba, pertandingan mengandam baju pengantin, berbalas pantun antara kumpulan, pertandingan karaoke, gubahan hantaran pertunangan, kerusi berirama, pertandingan Ratu Kebaya dan Jejaka Tampan, menganyam ketupat, mengupas buah pinang dan sebagainya yang berlangsung 1 hingga 4 Mei.

Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu, Tuah Suni; Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan SEDC, Shafiee Ahmad dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Madang Usat serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Advertisement