Anda di sini

PEWASA galak minat dalam permainan wau di Sarawak

Advertisement

CANTIK: Ismail (kanan), Ani Nazari (tengah) dan Norhissham Mat Esa menunjukkan koleksi wau PEWASA di pameran SASAC di Tebingan Kuching baru-baru ini.

MESKIPUN permainan wau terkenal di negeri utara Semenanjung seperti di Kedah, Perlis dan Kelantan, namun kehadirannya di Sarawa bukan sesuatu yang baharu.

Kebangkitan paling ketara wau di negeri ini adalah pada tahun 2005 melalui penganjuran julung kali Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo di Bintulu pada masa itu.

Naib Pengerusi Persatuan Wau Kuching Sarawak (PEWASA) Ismail Hassan berkata festival yang turut membabitkan persatuan itu merupakan titik permulaan kebangkitan peminat wau serta layang-layang di negeri ini.

“Kini festival ini menjadi acara tahunan yang telah pun memasuki edisi ke-10 akan diadakan pada bulan September akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pameran sempena Karnival Seni Jalanan Sarawak (SASAC) di Tebingan Kuching baru-baru ini.

Menurut Ismail, penubuhan PEWASA merupakan landasan peminat wau di Kuching bertemu dan berkongsi minat terhadap permainan tradisional itu.

Selain menjadi medan pertemuan peminat wau di sini, PEWASA turut mempertahankan seni budaya ini dengan mengajar ahli membuat sendiri wau.

Jelasnya, Pengerusi PEWASA iaitu Mustapha Marzuki merupakan pengajar mereka dalam cara pembuatan wau.

“Kebiasaannya apabila hujung minggu, kami akan berkumpul di Pantai Pasir Pandak atau Panjang untuk bermain wau di situ.

“Selain itu, apabila ada kelapangan kami akan belajar membuat wau bersama-sama dan kebiasaannya kami berkumpul di rumah Mustapha,” katanya.

Menurut Ismail, kerumitan dan pembuatan yang memerlukan ketelitian membuatkannya sukar mencari pelapis untuk membuat wau ini.

“Ada antara generasi muda yang ingin belajar membuatnya berhenti separuh jalan.

“Namun begitu, kita tetap bersemangat untuk mengukuh dan mempertahankan seni pembuatan wau ini dalam kalangan generasi muda iaitu melalui program perintis bersama Kelab Gudi Sarikei,” jelasnya.

Beliau berkata PEWASA juga dalam perancangan bekerjasama dengan Sekolah Matang Jaya untuk menganjurkan bengkel teknik pembuatan wau pada Ogos ini.

Tambahnya, ia juga salah satu langkah PEWASA untuk mengajak orang ramai mencintai permainan tradisional ini.

“Selain itu, melalui kerjasama ini kita ingin mencari bakat bagi kategori pelajar sekolah untuk diketengahkan sebagai wakil Sarawak untuk peringkat negeri mahupun kebangsaan,” jelasnya.

Bercerita mengenai pembuatan wau, katanya tidak ramai yang mempunyai bakat dan kemahiran itu kerana ia memerlukan ketekunan yang tinggi.

“Bagi saya sendiri, untuk membuat sebuah wau memerlukan masa kira-kira dua bulan.

“Selain kekangan masa kerana bekerja pada sebelah siang, saya memanfaatkan masa waktu malam untuk membuatnya,” tambah beliau yang mengakui masih banyak perlu ditingkatkan dalam penghasilan waunya.

Beliau memberitahu, sekiranya dijual di Eropah harga sebuah wau boleh mencapai hingga $300 bergantung pada kehalusan seni buatannya.

Justeru, beliau berharap lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam seni dan permainan tradisional ini kerana jika dilihat di negeri lain permainan ini telah dipelopori oleh golongan muda.

“Kami sedia memberi galakan dan sokongan kepada mereka yang benar-benar meminati seni dan warisan permainan tradisional ini agar tidak hilang ditelan zaman, khasnya di Sarawak ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak kerana sering menjemput PEWASA turut serta dalam pelbagai program jabatan itu seperti Program Pusat Seni Setempat.

 

Advertisement