Anda di sini

Peniaga marah bangunan jadi tapak parkir

Advertisement

TINDAKAN meroboh bangunan lama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Miri disifatkan oleh para peniaga Bumiputera sebagai ‘menabur pasir dalam periuk nasi’ mereka.

Seorang peniaga Bumiputera Miri memberitahu kawasan berkenaan kini dijadikan tempat parkir percuma untuk orang awam.

“Tindakan merobohkan bangunan SEDC (lama) langsung tidak memperdulikan nasib peniaga Bumiputera,” katanya yang enggan memberitahu namanya semalam.

Menurutnya, beliau berkata demikian kerana sehingga kini belum ada sebarang perkembangan tentang projek bangunan baharu di tapak bangunan berkenaan.

Apa yang membangkitkan kemarahannya ialah bangunan dimaksudkan tergesa-gesa dirobohkan pada suatu ketika dahulu.

“Boleh lihat apa yang terjadi sekarang.

Tapak dijadikan parkir dan mengundang debu berterbangan di kawasan berhampiran,” jelas beliau.

Jika niat pihak berkenaan untuk membantu peniaga Bumiputera, katanya, seharusnya pembinaan bangunan baharu dipercepatkan.

“Harus percepatkan pembinaan bangunan di situ kerana nasib ramai peniaga Bumiputera khususnya bergantung kepada bangunan baharu itu nanti,” jelasnya.

Lebih teruk, katanya, ada peniaga yang terpaksa menanggung beban hutang dan pada masa sama tidak mempunyai tempat berniaga.

 

Advertisement