Anda di sini

MITRAF berjaya promosi produk, pelancongan Miri

Advertisement

Oleh Steve Annuar

LANCAR: (Dari lima kiri) Don, Lawrence, Wong bersama penaja dan tetamu kehormat lain memotong tali belon tanda simbolik perasmian MITRAF keempat, kelmarin.

 

MIRI: Miri Trade Fair (MITRAF) anjuran syarikat See Hua Marketing Sdn Bhd menambah tarikan Miri kerana keupayaannya mempromosi produk dan perkhidmatan kepada penduduk dan pelancong.

Datuk Bandar, Lawrence Lai berkata, penganjuran MITRAF setiap tahun berjaya menghidupkan suasana membeli-belah dan pelancongan di sini khasnya tarikan untuk pelancong dari Brunei Darussalam.

“Tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia. Selain program-program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, kita memerlukan penyertaan sektor swasta memastikan kejayaan kempen pelancongan ini. Sokongan dari pihak See Hua Group menerusi MITRAF adalah cara kita memeriahkan Tahun Melawat Malaysia,” jelas Lawrence.

Lawrence berkata demikian ketika merasmikan MITRAF kali keempat di kompleks beli-belah Permaisuri Imperial City Mall sempena sambutan Hari Pekerja petang kelmarin.

Lawrence memberitahu, MITRAF merupakan antara 70 aktiviti yang tersenarai dalam kalendar aktiviti bulan Mei, Miri May Fest.

Menurut Lawrence, sokongan dan penyertaan penduduk amat penting untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan berjaya dan menghidupkan industri pelancongan Miri.

Pengerusi Penganjur Eksekutif Tony Ling berterima kasih kepada pihak Permaisuri Imperial City Mall, Imperial Mall serta penaja atas sokongan yang diberikan untuk menjayakan aktiviti itu.

“MITRAF merupakan landasan dan peluang terbaik bagi peniaga-peniaga di sini untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di bawah satu bumbung,” jelasnya.

Sebanyak 60 kaunter dan gerai jualan yang menampilkan produk dan perkhidmatan pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari Miri, Semenanjung Malaysia serta Taiwan terlibat dalam aktiviti empat hari tersebut.

Pengunjung boleh mendapatkan tawaran dan promosi istimewa dari produk-produk yang dipamerkan seperti produk elektronik dan elektrik, perabot dan peralatan tempat tidur, dapur dan perkakas kebersihan, kebersihan diri dan penjagaan kesihatan, pembaikan rumah, pameran hartanah, perdagangan umum, institusi pengajian tinggi, optik, pembaikan dan penyelenggaraan, institusi perancangan kewangan, teknologi maklumat, pelancongan, produk import dari Taiwan, produk kecantikan dan pelangsingan badan serta pelbagai lagi.

Majlis perasmian diserikan dengan persembahan nyanyian daripada juara Astro Star Quest 2013 serta peserta keenam terbaik pertandingan nyanyian Taiwan Chinese Million Star musim ketiga 2013, Esther Thian.

Peminat juga berpeluang menemui juara Astro Star Quest 2011 dan peserta kelima terbaik Chinese Million Star Taiwan musim pertama 2011, Geraldine Gan dan juara Astro Classic Golden Melody 2013, Andy Law menerusi sesi bertemu peminat.

Pengunjung pula dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dari pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan latihan senaman dari Ace Fitness.

Aktiviti hari kedua diisi dengan pertandingan Pick and Win dianjurkan oleh Boulevard Hypermarket and Departmental Store Imperial Mall, pertandingan nyanyian JCI Voice Star dan pertandingan nyanyian Six Superstars Mimic.

Pengunjung boleh menyaksikan pertunjukan fesyen pada hari ketiga. Turut dianjurkan ialah jualan amal dianjurkan oleh PDK, The Eric Jong Show, persembahan kebudayaan dari Kolej International Fajar dan pertandingan nyanyian Xiao Dao Ya oleh Miri Musical Society.

Jualan amal anjuran Sekolah Menengah Riam Road (RRSS), pertandingan ‘I’m A Musician,’ permainan ‘Wheel Of Fortune’ oleh Magnum Corporation, pertandingan mewarna, pertandingan nyanyian oleh Miri Musical Society dan pertandingan menghias kek dianjurkan oleh Seksyen Wanita Persatuan Kung Siong Miri diadakan pada hari terakhir.

Persatuan Graduan-Graduan Taiwan Miri juga membuka kaunter yang memberi khidmat nasihat tentang pengajian dan latihan di Taiwan.

Sepanjang MITRAF, kempen ‘Readers Exclusive’ dianjurkan untuk pembaca akhbar keluaran See Hua Group iaitu Utusan Borneo, The Borneo Post dan See Hua Daily News.

Penaja utama program ialah United Fusion Sdn Bhd, Sistem, Furniture & Decorating Co, Sistem Home Concept Sdn Bhd, CL Khoon Electronic Sdn Bhd and Naim Land Sdn Bhd.

Tiket cabutan bertuah diberikan untuk setiap resit bernilai RM100 yang menawarkan hadiah-hadiah menarik diumumkan pada hari Ahad.

Hadir sama semasa pelancaran MITRAF ialah Pengurus See Hua Marketing Miri Wong Kee Mee, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Boulevard Don Yew Hoon dan Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Naim Alice Ting.

Advertisement