Anda di sini

Masyarakat Dayak harus kurangkan minum arak: Pemanca

Advertisement

SIBU: Pengambilan minuman keras di kalangan masyarakat Dayak harus dikurangkan kerana perbuatan tersebut dilihat membawa lebih banyak kesan negatif dari segi ekonomi dan sosial kepada masyarakat terbabit.

Pemanca Stanley Geramong ketika menyuarakan pendapatnya berkata, pengambilan minuman keras di ka­langan segelintir masyarakat Dayak perlu dikurangkan jika tidak dapat dihentikan terus.

“Pengambilan minuman keras sama ada ‘langkau,’ bir atau arak perlu dihen­tikan. Jika tidak dapat dihentikan, kita patut mengurangkan pengambilannya.

“Ini kerana ia membawa lebih banyak kesan negatif kepada masyarakat. Kita juga harus menjaga imej bangsa kerana terdapat segelintir orang apabila sudah mabuk, mahu bergaduh,” ujarnya ke­pada pemberita, semalam.

Stanley berkata demikian ketika di­minta memberi pandangan berhubung kenyataan Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr Jerip Susil mengenai pengambilan minuman keras di kalangan masyarakat Dayak.

Dr Jerip dipetik berkata, pengambilan minuman keras seperti ‘langkau’ semakin berkurangan di kalangan generasi baharu masyarakat Dayak, meskipun pengam­bilan minuman keras masih menjadi satu masalah serius.

Walaupun penghasilan alkohol buatan sendiri itu bukan masalah yang serius di Sarawak, penghasilan, penjualan dan pengambilannya di kalangan masyarakt perlu dikawal.

“Kita tidak boleh menghalang ses­eorang itu untuk terus berhenti minum sama sekali, namun kesedaran agar kita lebih bertanggungjawab ketika minum perlu diperbaiki,” ujar Dr Jerip.

Menurut Stanley, semua pihak harus berfikir bagaimana hendak mengurangkan budaya pengambilan minuman keras di kalangan masyarakat Dayak, tanpa men­gira jenis minuman keras yang diambil.

Sama ada tua atau muda, katanya, pengambilan minuman keras ini sukar dikawal dan ini boleh mendatangkan masalah kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau yang telah berkeluarga.

“Sebagai contoh, dengan pendapatan RM30 sehari dan harga ‘Cap Apek’ lebih RM10 sebotol, apabila sudah mi­num mereka tidak akan ingat mengenai pendapatan.

“Apabila sudah mabuk, tidak cukup sebotol dua,” jelasnya sambil menambah masyarakat kini harus lebih memikirkan mengenai keluarga serta pendidikan anak-anak.

Stanley juga memberitahu, masyarakat tidak boleh menyalahkan mereka yang menjual minuman keras memandangkan pihak terbabit mempunyai lesen untuk berbuat demikian.

Menjelang sambutan Gawai Dayak, beliau berharap masyarakat Dayak dapat mengurangkan perbelanjaan bagi membeli minuman keras.

Ditanya mengenai sebab mengapa segelintir masyarakat Dayak banyak minum minuman keras, Stanley mem­beritahu ia mungkin disebabkan masalah ketagihan.

“Pada pendapat saya, ini mungkin kerana ketagih seperti seseorang itu ketagih dadah. Mereka yang telah ket­agih akan minum tanpa kira waktu atau tempat,” katanya.

 

Advertisement