Anda di sini

Lotus Five Star tampil audio tercanggih di Summer Mall

Advertisement

MULA DIBUKA: Orang ramai mula beratur di kaunter tiket LFS bagi merasai sendiri pengalaman menonton dalam pawagam yang menggunakan audio Dolby Atmos tercanggih.

KUCHING: Kumpulan Lotus melebarkan lagi rangkaiannya di Sarawak menerusi pembukaan pawagam Lotus Five Star (LFS) di Summer Mall, Kota Samarahan dekat sini.

Pawagam baharu dan terbesar di Sarawak itu mempunyai 12 skrin digital dengan kapasiti penonton seramai 2,038 orang lengkap dengan sistem bunyi atau audio Dolby Atmos yang tercanggih.

Pengerusi Kumpulan Lotus Datuk Seri Dr Mat Isa Sabu berkata, sistem audio terkini itu hanya terdapat di satu pawagam sahaja iaitu di Semenanjung Malaysia, tetapi kini turut diperkenalkan di Sarawak iaitu Kota Samarahan.

“Pawagam LFS Summer Mall merupakan yang kedua dalam rangkaian pawagam LFS di negeri ini selepas pawagam pertama dengan empat skrin di Riverside Kuching sejak 20 tahun lalu.

“Pembukaan pawagam baharu ini adalah selari dengan pelan perkembangan rangkaian pawagam LFS serta perkembangan sektor pameran industri filem tempatan.

“Kini rangkaian pawagam LFS mempunyai 26 pawagam di seluruh Malaysia dengan 110 skrin digital serta kapasiti 21,700 tempat duduk penonton,” katanya.

Tambah Mat Isa yang juga bekas Menteri Besar Perlis, pembukaan pawagam LFS Summer Mall selaras dengan strategi Lotus untuk membuka pawagam baharu di bandar-bandar utama seluruh negara.

Kini, katanya, para penerbit filem tempatan mempunyai lebih banyak peluang serta pilihan pawagam untuk menayangkan filem-filem tempatan kepada orang ramai dari kawasan bandar dan luar bandar melalui skim wajib tayang.

Dalam pada itu, pawagam LFS dengan kerjasama kerajaan negeri serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberi jaminan akan sentiasa menyokong serta membantu para pembikin filem.

LFS Summer Mall yang baharu adalah sebuah tempat yang hebat untuk menikmati filem yang dinanti-nantikan seperti The Amazing Spider-Man 2, Godzilla, X-Men: Days of Future Past dan banyak lagi filem ‘blockbuster’ lain yang mengujakan selain filem tempatan terbaik pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan untuk mengetahui promosi lain yang mengujakan daripada LFS Cinemas, orang ramai boleh mengikuti perkembangan menerusi Facebook @ www.facebook.com/LFSCinemasMY.

Hubungi di LFS Cinemas (M) Sdn Bhd, Jabatan Pemasaran, 03-79491860 atau tulis kepada Kho Hock Kheng di [email protected] untuk bertanya tentang sebarang kemudahan yang disebut di atas.

Advertisement