Anda di sini

Hudud: UMNO persoal keikhlasan PAS

KUALA LUMPUR: UMNO semalam mempersoalkan keikhlasan PAS dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan, sama ada ia benar-benar berlandaskan Islam atau sekadar meraih sokongan politik semata-mata.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini berdasarkan kenyataan pemimpin DAP Teresa Kok Selasa lepas yang mendakwa PAS ingin melaksanakan hukum itu bagi mengelakkan kehilangan sokongan Melayu, selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

“Jika benar apa yang di-nyatakan Kok bahawa ia untuk memerangkap UMNO dan mencapai tujuan politik PAS semata-mata tentunya hukum hudud yang bakal dilaksanakan dan hajat untuk mendapatkan sokongan daripada UMNO merupakan taktik politik yang harus dinilai semula oleh semua orang Islam di Malaysia,” katanya pada persidangan akhbar di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata UMNO akan mengkaji kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS mengenai maksud tersurat dan tersirat tujuan parti itu ingin melaksanakan hukum hudud.

Beliau berkata UMNO tidak pernah menolak hukum hudud, malah memberi dukungan kepada cada-ngan melaksanakannya yang merupakan hukum qat’ie (yang tidak boleh dipertikai) selagi ia berlandaskan hukum Islam sepenuhnya berdasarkan kepada nas, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas.

Kok yang dipetik dalam portal berita berkata PAS mengalami kesukaran dalam berdepan masyarakat kampung Melayu kerana UMNO menguar-uarkan dakwaan mereka dikawal oleh DAP.

Justeru, anggota Parlimen Seputeh itu berkata PAS tidak boleh berdiam diri setelah menerima cabaran yang diberikan UMNO dalam isu hudud, jika tidak, lebih banyak sokongan Melayu akan hilang.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang ditanya mengenai buku ‘Perempuan Nan Bercinta’ karya Faisal Tehrani yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri minggu lepas kerana kononnya mempromosikan ajaran Syiah, berkata ia dilakukan supaya penyebarannya (Syiah) tidak dilakukan di negara ini.

“Ini kerana kita yakin kepada pegangan ahli Sunnah Waljamaah. Ia juga untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dilakukan di negara ini,” katanya.

Kementerian, katanya, ada mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung pengharaman buku itu.

Buku setebal 410 halaman berbahasa Melayu yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Negara dilancarkan pada 2012 mengisahkan tentang seorang profesor yang bersahabat dengan seorang aktivis hak asasi manusia dan mereka berdua berdebat serta berbincang tentang pelbagai isu. — Bernama