Anda di sini

CBP: Mekanisme sesuai dikaji sebagai tindakan terhadap peniaga

Advertisement

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan tidak munasabah apabila pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tahun depan.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alias Ahmad berkata kajian itu dibuat berpandukan Akta Kawalan Harga 2010 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati apabila CBP dikuat kuasa.

“Mekanisme baharu itu akan dapat mengenal pasti pengusaha yang menyeleweng dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada yang telah diperkemas untuk melindungi hak pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen penurunan harga di Pasaraya Sunshine di sini semalam.

Beliau berkata mekanisme baharu itu kelak akan berperanan memantau harga, caj maksimum, minimum atau tetap bagi barangan dan perkhidmatan serta setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit.

Mengenai kempen penurunan harga itu, Alias berkata sebanyak 400 pasar raya di seluruh negara menyertai kempen itu melibatkan sehingga 4,000 jenis produk keperluan harian terutama makanan segar, sejuk beku dan makanan kering, sejak dilancarkan Januari lepas.

Alias berkata menerusi kempen, harga barangan terpilih akan diturunkan dari 15 hingga 70 peratus sehingga 31 Dis ini.

Beliau berkata KPDNKK telah mewujudkan jaringan kerjasama dengan 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sejak Febuari lepas bagi membantu kementerian melaksanakan tanggungjawab mendidik pengguna secara lebih berkesan.

“Kempen bersama NGO itu memasuki fasa kedua Mei ini dan setakat ini berjaya mendapat penglibatan 38,000 golongan sasar iaitu pelajar dan suru rumah menerusi pelbagai kempen, ceramah kesedaran dan bengkel pengurusan kewa-ngan,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya sentiasa membandingkan harga dan memilih alternatif bagi menggantikan barang dan perkhidmatan dianggap mahal dengan mendapatkan maklumat semasa menerusi portal pengguna. — Bernama

 

 

 

 

 

Advertisement