Anda di sini

Wilson Ugak adakan tinjauan mesra di Belaga & Sungai Asap

Oleh Kenka KN

SELAMAT DATANG: Ugak (tengah) dan rombongan disambut oleh penduduk di Uma Kahei.

AHLI Parlimen Hulu Rejang, Wilson Ugak Kumbong baru-baru ini telah mengadakan tinjauan mesra di daerah Belaga dan daerah kecil Sungai Asap untuk bertemu dengan penduduk di kawasan Parlimennya.

Beliau menggunakan peluang tersebut untuk berjumpa dengan rakyat di peringkat akar umbi bagi mengetahui masalah mereka serta isu-isu yang mungkin ditimbulkan.

Pada 11 April lepas, beliau telah pergi ke penempatan semula pendudk di Tegulang di Murum, Belaga untuk menyerahkan derma sebanyak RM10,000 daripada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) kepada keluarga mangsa seorang pelajar tahun enam, dikenali sebagai Joseph Misan yang terkorban dalam kebakaran rumah panjang yang memusnahkan empat bilik pada 7 April.

LUAS: Ugak bersama ketua masyarakat dan ketua kaum dari Baleh iaitu Bunsu (kiri), Ajai dan Emak melawat Empangan Murum.

Pada sebelah petang, Ugak dan rombongannya yang terdiri daripada ketua masyarakat, Penghulu Bunsu, Tuai Rumah Ajai, Tuai Rumah Emak, Palong dan Ketua Publisiti PRS Bahagian Baleh Johnny Osman telah berkunjung ke tapak pembinaan Projek Hidro Murum bagi meninjau keadaan.

Pada 12 April, Ugak merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Belaga dan menyempurnakan penyerahan cek geran kerajaan berjumlah RM15 ribu kepada PIBG SMK Belaga untuk program dan aktiviti tahunannya.

Beliau memuji guru-guru yang telah menjalankan tugas dan menggalas tanggungjawab mendidik anak-anak tempatan berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dengan memuaskan.

RASMI: Ugak memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Belaga sambil disaksikan oleh tetamu lain.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang PMR, SPM dan STPM tahun lepas dan menyerahkan Netbook 1Malaysia kepada pelajar-pelajar SMK Belaga.

Pada sebelah petang, beliau dan rombongan berkunjung ke Uma Kahei untuk melihat sendiri tapak rumah panjang baharu penduduk berkenaan.

Ketika lawatan tersebut, Ugak mengumumkan geran projek kecil luar Bandar (MRP) kerajaan sebanyak RM20 ribu untuk membeli bahan-bahan binaan dan projek kecil membina jalan konkrit ke Uma Kahei.

BANTUAN: Ugak (lima kanan) menyerahkan cek sumbangan peribadinya dan daripada BNBBC kepada salah seorang ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran di Tegulang. Turut kelihatan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umis Tujok (dua kiri), Kaunselor Betet (kiri), Bunsu (tiga kanan), Emak (kanan), Maran (empat kanan) dan Kaunselor Ida (dua kanan).

Sejurus selepas itu, Ugak bergegas dengan jadual lawatan ketat pada hari berkenaan melancarkan Koperasi Keluarga Let Belaga di Highway Café, Jalan Bakun, sebuah koperasi milik penduduk Orang Ulu sepenuhnya.

Akhir sekali, pada sebelah petang berkenaan Ugak dan rombongan melawat penduduk di Uma Kejaman Lasah, Long Segaham di mana beliau turut merasmikan Program Khidmat Komuniti anjuran Majlis Daerah Kapit di rumah panjang berkenaan.

Beliau kemudian mengumumkan geran MRP bernilai RM20 ribu kepada JKKK Kejaman Lasah bagi mengendalikan aktiviti sepanjang tahun.

Turut hadir ketika itu, SAO Calvin, Pemanca Tony Kuleh, Pemanca Umek Jeno, Pemanca Ajang Sirek, Penghulu Bunsu, Kaunselor Bete Lahang, Kaunselor Bakat Gira, Tuai Rumah Emak, Tuai Rumah Ajai, Maran Uma Osman dan ramai lagi.