Anda di sini

SPPM dilancar dalam tempoh terdekat

Advertisement

Diumumkan PM semasa Bajet 2014 itu menawarkan kadar pinjaman lebih rendah

KUALA LUMPUR: Skim Peniaga Pasar Malam (SPPM), satu dana khas bagi membantu golongan peniaga kini dalam peringkat akhir perincian sebelum dilancarkan dalam tempoh dua bulan.

Timbalan Menteri Kewa-ngan Datuk Ahmad Maslan berkata dengan peruntukan RM100 juta, skim yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Bajet 2014 itu menawarkan kadar pinjaman lebih rendah berbanding produk mikro kewangan lain.

“Ketika ini, SPPM dalam perincian terakhir sebelum dilancarkan. Ia merupakan usaha murni kerajaan membantu golongan peniaga mengembangkan perniagaan.

“Oleh sebab itu, kadar faedahnya hanya empat peratus sahaja, malah lebih menarik separuh daripada kadar itu disubsidi kerajaan, maknanya peminjam hanya perlu bayar dua peratus,” katanya menjawab perta-nyaan Senator Datuk Saat Abu di Dewan Negara di sini semalam.

Saat ingin tahu tentang skim itu dan bagaimana pinjamannya diuruskan.

Ahmad berkata SPPM menawarkan pinjaman mi-nimum RM5,000 sehingga RM30,000 khusus untuk peniaga pasar malam kerana golongan itu sukar mendapat pinjaman kewangan daripada bank-bank ko-mersial.

Beliau berkata skim itu hanya ditawarkan kepada peniaga yang memenuhi terma dan syarat di bawah pakej pinjaman Islamik atau konvensional, dan di antara syaratnya ialah telah menjalankan perniagaan secara aktif sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai lesen perniagaan atas nama sendiri.

Selain itu, pemohon adalah peniaga pasar malam sepenuh masa yang menjalankan perniagaan empat kali seminggu atau lebih dan mesti berdaftar dengan persatuan peniaga, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata sejak 2007, kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) membelanjakan RM700 juta sebagai dana pinjaman kepada golongan peniaga kecil.

“Dengan nilai pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000, seramai 35,000  peniaga kecil seperti peniaga kedai runcit, pengusaha bengkel kereta dan kilang-kilang kecil berjaya dibantu,” kata-nya. — Bernama

Advertisement