Anda di sini

Persidangan antarabangsa WCSC 2014 akan babitkan komuniti bandar raya

Advertisement

PETALING JAYA: Persidangan antarabangsa The World Class Sustainable Cities (WCSC) akan kembali semula tahun ini dengan sesi lebih memberangsangkan dan turut membabitkan komuniti bandar raya untuk membantu mewujudkan ‘bandar raya masa depan’.

Pengerusi WCSC Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri berkata WCSC 2014 akan diadakan di sini pada 25 Sept.

“Tema tahun ini ‘People make Communities, Communities makes Cities’ akan membabitkan orang ramai dalam menentukan corak pembangunan bandar raya kita untuk masa depan.

“Ini merupakan satu cara untuk memberitahu diri kita sendiri untuk kembali semula kepada asas, dalam apa juga yang kita lakukan sebagai seorang perancang bandar, seorang arkitek atau malahan sebagai seorang pengurus bandar raya, kami percaya penyertaan komuniti akan memberi manfaat bagi pembangunan sebuah bandar raya yang baik,” katanya dalam sidang akhbar tentang WCSC 2014 di sini semalam.

Selain mengundang penceramah terkemuka tempatan, beliau berkata turut diundang penceramah bertaraf dunia dari Amerika Syarikat, Jerman dan Australia, yang terkenal di peringkat global bagi idea inovatif dan pencapaian cemerlang dalam pembangunan bandar raya.

Wan Hashimi Albakri berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan persidangan antarabangsa itu.

Tahun lepas WCSC menarik lebih 600 peserta dan tahun ini penganjur menyasarkan menarik 1,000 peserta.

Siri WCSC merupakan platform bagi perbincangan tentang bagaimana menjadikan bandar raya lebih lestari dan sesuai untuk didiami serta mendidik orang ramai berhubung potensi bandar raya yang baik. — Bernama

Advertisement