Anda di sini

MOSTI terima geran RM310j tahun lepas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima geran berjumlah RM310 juta untuk penyelidikan dan pembangunan, kata timbalan menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Beliau berkata geran itu disalurkan kepada enam dana yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 selain bagi menggalakkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan penyelidik tempatan.

Katanya, enam dana itu ialah ScienceFund, Dana Prapengkomersialan (Innofund dan Technofund), Dana Pengkomersialan Bioteknologi (BCF), Dana Pengkomersialan R&D (CRDF), Dana Perolehan Teknologi (TAF) dan Dana untuk Program NanoMalaysia.

Daripada jumlah itu, RM64 juta diluluskan kepada ScienceFund, RM113 juta (TechnoFund), RM2 juta (InnoFund), RM36 juta (BCF), RM86 juta (CRDF) manakala baki RM7 juta untuk TAF, katanya semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Jaspal Singh di Dewan Negara di sini semalam.

Jaspal ingin tahu jenis dana serta jumlah yang disalurkan kementerian itu tahun lepas serta syarikat yang berjaya memperoleh dana berkenaan.

Abu Bakar berkata 32 syarikat layak menerima dana TechnoFund, CDF (49 syarikat), BioNexus (13 syarikat), TAF (4 syarikat) dan dua syarikat menerima InoFund.

Kesemua peruntukan bagi dana penyelidikan dan pembangunan itu diberikan kepada penyelidik atau pemohon melalui prosedur ketat manakala permohonan pula diluluskan oleh jawatankuasa penilaian yang dianggotai golongan pakar dan profesional dalam bidang tertentu, katanya. — Bernama

Advertisement