Anda di sini

Kastam rampas syabu RM304,000, tahan wanita Thailand

Advertisement

BERJAYA DIRAMPAS: Pengarah Kastam Kedah Datuk Abd Aziz Abdul Latif (tengah) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan kertas karbon berwarna biru mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah yang disorokkan di bahagian dalam beg galas berwarna biru ketika sidang media di Pejabat Kastam Alor Setar di Alor Setar, semalam. Turut sama Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kastam Negeri, Mohd Shokri Yahya (kiri). — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Kastam Kedah mematahkan cubaan menyeludup 1.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM304,000 di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Isnin lepas.

Pengarah Kastam negeri Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata dalam kejadian jam 3.40 petang itu, seorang wanita warga Thailand berumur 29 tahun yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Butterworth, turut ditahan.

Katanya ketika anggotanya melakukan imbasan ke atas beg galas suspek di Unit Pemeriksaan Penumpang dan Pejalan Kaki, terdapat imej yang mencurigakan kerana kandungan beg yang berisi pakaian itu lebih berat.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan yang dibalut kertas karbon biru mengandungi hablur kristal dipercayai syabu disorokkan dalam kedua-dua bahagian dinding beg berkenaan.

“Suspek telah mengubah suai beg itu dengan melekatkan bungkusan dadah pada dinding beg itu di bahagian depan dan belakang sebelum menjahit semula beg dan meletakkan pelbagai jenis pakaian,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurut Abd Aziz, taktik lama digunakan suspek dengan meletakkan kertas karbon bagi mengelak barang larangan dikesan, namun tetap tidak berhasil.

Abd Aziz berkata suspek yang bekerja di sebuah kedai makan di Thailand itu kerap masuk ke Malaysia dan kali ini adalah untuk bercuti.

Beliau berkata suspek ditahan reman mulai kelmarin hingga 5 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement