Anda di sini

Akta Perubatan Tradisional jamin kepentingan pesakit

Advertisement

Wujudkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari yang diiktiraf, berfungsi secara sistematik

PUTRAJAYA: Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 yang dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini akan menjamin kepentingan pesakit dan pengguna selain mutu perkhidmatannya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata akta itu bertujuan mewujudkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari yang diiktiraf dan berfungsi secara sistematik.

Katanya kementerian pada masa ini tidak mempunyai jumlah pengamal perubatan alternatif itu kerana mereka tidak perlu berdaftar.

“Tetapi selepas ini kita akan memastikan pengamal perubatan itu mempunyai latihan yang mencukupi, diiktiraf oleh badan perubatan dalam bidang masing-masing.

“Bermakna cuma mereka yang ada kelayakan, diiktiraf dan diakreditasi sahaja boleh buat kerja sebagai pengamal perubatan alternatif,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementerian di sini semalam.

Mengulas lanjut Dr Subramaniam berkata akta yang diwartakan pada Februari tahun lepas itu juga akan mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari.

Katanya kementerian itu juga melantik lapan badan pengamal bagi mewakili setiap bidang amalan yang dikenal pasti dan menjalankan kawal selia berdasarkan kod amalan dan kod etika yang dibangunkan oleh kementerian dan perlembagaan badan-badan berkenaan.

Beliau berkata perubatan tradisional Melayu, India, Cina, Islam serta homeopati dan terapi komplementari merupakan enam bidang amalan utama di bawah perubatan tradisional dan komplementari.

“Ini sebagai langkah kawalan kepada pesakit dan pelanggan yang mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan itu supaya mereka tidak dirawati oleh mereka yang tidak mempunyai pengetahuan atau kelayakan yang mencukupi dalam bidang tertentu.

“Buat masa ini walaupun kita menerima aduan berhubung rawatan atau pengamal perubatan itu, namun kita tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan. Pesakit atau pengguna hanya boleh buat laporan polis, itu sahaja, katanya.

Dr Subramaniam berkata penguatkuasaan akta itu kelak mampu meningkatkan profesionalisme pengamal perubatan tradisional dan komplementari. — Bernama

Advertisement