Anda di sini

2014 tahun paling sibuk bagi SLTA

Advertisement

KUCHING: Perancangan rapi Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) berjaya menampakkan hasil apabila semua kejohanan dianjurkannya setakat ini berjalan dengan lancar.

Presidennya, Datuk Patrick Liew berkata terdapat sembilan lagi kejohanan bakal berlangsung dan 2014 merupakan tahun paling sibuk bagi SLTA.

Lebih membanggakan, SLTA berjaya menganjurkan kejohanan mengikut jadual ditetapkan dan rekod kepada persatuan itu.

“Kita tidak pernah menganjurkan lebih daripada enam kejohanan sebelum ini.

“Saya percaya persatuan kita dan semua ahli jawatankuasa dapat berdepan dengan cabaran menganjurkan kejohanan yang banyak,” katanya pada perasmian kejohanan ITF Asia/Ocenia Zon Junior Kelayakan Grand Final Piala Davis di sini.

SLTA merupakan antara persatuan sukan paling aktif di negeri ini menganjurkan kejohanan tenis peringkat antarabangsa pada setiap tahun sejak beliau dilantik presiden pada 1998.

Patrick berkata, bukan mudah menganjurkan kejohanan antarabangsa kerana banyak standard dan peraturan perlu dipatuhi persatuan.

“Bagi kita ia bukan masalah. Kita mempunyai banyak pengalaman untuk berdepan tekanan dalam menganjurkan kejohanan antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 16 pasukan akan bertarung dalam ITF Asia/Ocenia Zon Junior Kelayakan Grand Final Piala Davis bermula pada 28 hingga 3 Mei ini bagi merebut empat slot mewakili rantau Asia/Ocenia ke pusingan akhir Piala Davis Junior pada September depan.

Pusingan akhir Piala Davis Junior tahun ini akan berlangsung di Mexico.

Advertisement