Anda di sini

Penggunaan 20% baucar BB1M untuk barang bukan akademik dimansuh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggunaan 20 peratus Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk membeli barang lain selain buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah akan dimansuhkan bermula Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan semalam, ia dilaksanakan selepas kementerian itu menerima aduan berhubung penyalahgunaan BB1M untuk pembelian barang bukan akademik.     “Kementerian telah memperkemas garis panduan pemberian BB1M yang berkuat kuasa 1 Mei ini. BB1M hanya untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja.

“Kelonggaran yang membolehkan mahasiswa menggunakan 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barang lain selain buku adalah dimansuhkan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan memperkenal BB1M sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Setakat ini, pemberian BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa prauniversiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warga Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM890 juta.

Bagaimanapun, kementerian itu menerima aduan penyalahgunaan BB1M yang semakin serius apabila penerima menggunakannya untuk membeli barang lain seperti tudung, pakaian dan cermin mata selain pempamer yang menyertai pelbagai pameran juga secara terang-terangan memaparkan penerimaan baucar itu bagi barang bukan akademik.

Kementerian dalam kenyataan itu memandang serius penyalahgunaan itu dan akan menyenaraihitamkan mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M.

“Mereka (pekedai buku) juga tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Jelas kementerian itu, peraturan baharu berkenaan merupakan tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan boleh didapati melalui portal rasmi kementerian www.moe.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urus setia BB1M melalui e-mel [email protected]. — Bernama

Advertisement