Anda di sini

Pembantu kedai nasi campur didakwa pecah rumah dan curi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai nasi campur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan memecah rumah dan mencuri pelbagai barang termasuk wang tunai RM20,000 milik seorang ahli perniagaan bulan lepas.

Lim Jun Hwa, 31, didakwa bersama Sea Wong Keat, 28, (yang masih belum dituduh) mencuri dokumen perjanjian rumah, pasport, surat beranak, geran rumah, wang tunai RM20,000, lima utas jam tangan, satu set barang kemas dan komputer riba bernilai RM70,000 milik Soh Sun Sun, 40, di sebuah rumah di Taman Wahyu, antara jam 7.30 pagi hingga 5 petang, 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lim, yang didakwa bersama Sea, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki harta curi  iaitu tiga utas jam tangan pelbagai jenama, empat keping kad kredit serta 53 keping mata wang bernilai 25000 dinar (RM40,000) milik ahli perniagaan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menetapkan 9 Jun untuk sebutan kes dan mengarahkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. — Bernama

Advertisement