Anda di sini

Long Bedian antara destinasi menarik TMM 2014

Advertisement

INDAH: Pemandangan air terjun yang menarik di Tenyok Rimba Komuniti Resort, Long Bedian.

SEJAUH kira-kira 200 kilometer dari bandar raya Miri atau empat jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, Rumah Panjang Long Bedian terletak di kawasan hutan asli di Apoh Tutoh di daerah Baram.

Komuniti setempat Long Bedian terdiri daripada 200 pintu rumah panjang dengan kira-kira 2,000 orang penduduk majoritinya kaum Kayan dan beberapa kaum  lain seperti Kelabit, Kenyah, Morek, Penan serta etnik minoriti.

Sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mengutamakan pengurusan mapan, ia juga menyediakan Program Inap Desa dan produk pelancongan yang unik kerana kawasan sekitarnya merupakan penempatan kaum Penan dan rumah panjang kaum Kayan.

Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, ia turut menjadi salah satu destinasi menarik dan paling sesuai untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

JALINAN KEMASYARAKATAN: Ibrahim (tiga kiri) menyerahkan ‘Titik Sentuhan’ kepada seorang penerima di Long Bedian.

Pada 1946, penempatan awal mula dibuka oleh sekumpulan kaum Kayan yang dipimpin oleh TK Tama Ingan Sang yang turut menjadikan Kuala Sungai Bedian atau Sungai Durian di Apoh sebagai tapak penempatan untuk didirikan rumah panjang.

Sungai Bedian dinamakan sempena pokok durian yang tumbuh sepanjang tebing sungai manakala dalam dialek Kayan, Bedian bererti buah durian.

Dalam istilah tempatan Long bererti Kuala dan sehingga ke hari ini pembangunan serta kemajuan hidup kaum Kayan mencorakkan keaslian Long Bedian.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jok Eng Jok, masyarakat Long Bedian pada awalnya masih mengikuti kepercayaan lama yang mengakibatkan kehidupan mereka kurang baik dan rata-ratanya mempunyai pemikiran negatif.

Namun semua itu berubah pada 1949 apabila masyarakat mula meninggalkan kepercayaan lama dan memeluk agama Kristian dan sejak itu ia menjadi titik perubahan cara hidup yang turut mempengaruhi kepesatan pengurusan kampung.

SIMBOLIK PERASMIAN: Ibrahim (bertopi Orang Ulu) merasmikan Inap Desa Nawan Dian Long Bedian.

Pada awal 1960-an, ibu bapa mulai menghantar anak mereka ke sekolah dan masyarakat setempat mulai terlibat dalam aktiviti tanaman seperti kopi dan getah selain menerima pendedahan kepada aktiviti sosial, politik dan sektor pembangunan.

Tambah Jok, fenomena tersebut membantu meningkatkan pendapatan keluarga serta memberi impak dan pemangkin dalam aktiviti sosio-ekonomi  seperti membuka kedai runcit, kedai makanan dan minuman, kedai perkakasan rumah, kedai membaiki motor, kedai kraf tangan, kedai pengangkutan dan sebagainya.

Ekoran daripada aktiviti pembalakan, jaringan jalan balak juga menghubungkan Long Bedian dengan Long Lama, bandar raya Miri dan beberapa buah rumah panjang kaum Penan menyebabkan perjalanan ke sesuatu destinasi menjadi mudah dan seterusnya menjadikan Long Bedian sebagai pusat tumpuan pelbagai aktiviti.

Sejak itu Long Bedian menjadi pusat beli-belah bagi kawasan Apoh, melibatkan lebih 20 buah rumah panjang di sekitarnya, dan kini terdapat tiga blok kedai diberi nama Kedai Berpusat Kampung Long Bedian yang memberi peluang perniagaan kepada lebih 30 orang penduduk tempatan.

Melalui peningkatan ekonomi keluarga daripada aktiviti perniagaan, pembangunan kampung juga bertambah maju dengan penglibatan dan kepercayaan beberapa agensi kerajaan.

UNTUK ALBUM: Ibrahim bersama pegawai kanan jabatan dan agensi lain merakamkan kenangan di hadapan replika durian raksasa di Long Bedian baru-baru ini.

Kumpulan sokongan JKKK ditubuhkan sebagai badan pentadbiran kampung agar lebih mantap dan strategik sehingga Long Bedian diisytiharkan sebagai Kampung Gerak Desa Wawasan (GDW) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri.

Dari situlah pengurusan Kampung Long Bedian semakin aktif, komited dan proaktif serta beroleh kejayaan demi kejayaan baik dalam sektor sosio-ekonomi, pendidikan, politik mahupun pengurusan.

Jok mengulas lanjut, faktor kejayaan Long Bedian adalah daripada masyarakat di situ sendiri yang meninggalkan kepercayaan lama dan mula menanam kepercayaan baharu dalam agama yang dianuti iaitu Kristian.

Pada masa sama, masyarakat juga mula bijak dalam mengendalikan pengurusan dan kepimpinan dengan melibatkan diri secara positif serta mengamalkan semangat kekitaan.

Pendidikan formal turut memainkan peranan penting dalam pembangunan setiap insan, lebih-lebih lagi bagi masyarakat luar bandar.

Sekolah Kebangsaan Long Bedian yang dinaik taraf pada Januari 2012 sekali gus melakar nama sekolah itu sebagai Sekolah Komprehensif (K-9) oleh Kementerian Pendidikan di mana kanak-kanak belajar dari peringkat rendah sehingga menengah yang bermodelkan khas untuk penduduk di luar bandar.

Antara lain, kemudahan asas yang terdapat di Long Bedian termasuk sebuah Klinik Desa, Tadika KEMAS, Perpustakaan, Pusat Kesenian dan Loji Air Komuniti Long Bedian.

Antara daya tarikan terkini di Long Bedian ialah replika durian raksasa, yang reka bentuknya sangat unik, kerana di sebelah dalamnya diubah suai menjadi sebuah bilik khas inap desa untuk tetamu dan pelancong.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang mengetuai program Kembara Jalinan Kasih (KJK)

ke Long Bedian pada akhir bulan Mac lalu turut diberi penghormatan untuk merasmikan Inap Desa Nawan Dian dan menjadi penginap pertama di replika durian raksasa tersebut.

 

Advertisement