Anda di sini

Bekas pengarah JKKN Pahang dituduh terima rasuah

Advertisement

KUANTAN: Bekas pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang semalam dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah dan mengemukakan invois palsu kepada majikannya pada 2011.

Mohd Sukarno Abdul Wahab, 56, didakwa menerima wang RM7,000 daripada Sulaiman Ismail sebagai dorongan untuk meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada JKKN Pahang yang dibuat syarikat Gandik Emas Enterprise dan untuk meluluskan pesanan kerajaan kepada syarikat tersebut pada 10 Jan 2011.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Sukarno didakwa mengemukakan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 25 Ogos 2011 berjumlah RM3,500 dan satu invois atas nama Syarikat Azizi bin Mohammad berjumlah RM3,500 kepada JKKN Pahang yang mengandungi butiran palsu perkhidmatan penyediaan peralatan sistem dan kru teknikal untuk latihan sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011 di Padang MPK1.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 7 Sept 2011 di JKKN Pahang di sini.

Ahmad Shah Jaafar, 35, pula dituduh bersubahat dengan Mohd Sukarno mengemukakan dokumen pesanan dan invois dengan butiran palsu yang pembekalannya tidak dilaksanakan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 7 Sept 2011 di JKKN Pahang di sini.

Sementara itu, isteri Mohd Sukarno, Asiah Hashim, 48, didakwa memperoleh wang RM7,000 daripada Sulaiman Ismail sebagai dorongan untuk Mohd Sukarno meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada JKKN Pahang yang dibuat oleh Syarikat Gandik Emas Enterprise di hadapan kedai perabot Rozel, Jalan Beserah di sini pada 10 Jan 2011, pada jam 3 petang.

Azizi Mohammad, 49, pula didakwa memberikan kepada Mohd Sukarno satu invois atas nama Syarikat Azizi bin Mohammad berjumlah RM3,500 yang mengandungi butiran palsu yang sama.

Kesemua pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad mengarahkan Mohd Sukarno dikenakan ikat jamin RM13,000 bagi dua pertuduhan, Asiah sebanyak RM6,000, Ahmad Shah dan Azizi masing-masing RM4,000, oleh seorang penjamin. — Bernama

Advertisement