Anda di sini

91 wartawan terkorban ekoran laporan jenayah atau politik tahun lepas – CJA

KUALA LUMPUR: Pemerhati daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mendapati 91 wartawan terkorban tahun lepas, manakala 24 kematian lagi direkodkan tahun ini, menurut Persatuan Wartawan Komanwel (CJA).

Presidennya, Rita Payne berkata berpuluh-puluh lagi dipenjarakan atau diancam dan banyak antara mereka yang meninggal dunia dalam zon perang manakala ada juga yang terbunuh ekoran laporan mereka berkaitan jenayah atau politik.

“Wartawan dipenjarakan tanpa sebab munasabah atau melalui proses sepatutnya, diserang atau dibunuh di banyak negara, malah sekalipun di negara yang mengisytihar komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

“Usaha sah mereka untuk melaporkan perkara membabitkan kepentingan awam dan mendapatkan hak untuk memperoleh maklumat seringkali dihalang oleh kerajaan itu sendiri,” kata Payne dalam satu kenyataan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia di sini Rabu.

Payne berkata CJA bersuara lantang menentang keganasan dan tapisan yang dihadapi wartawan di seluruh dunia, dan menyokong kebebasan media yang dibenarkan melaksanakan tugas tanpa bimbang akan diapa-apakan atau mengalami keganasan fizikal.

“Kerajaan autoritarian terus menerus berusaha untuk menutup mulut atau memanipulasi media dengan mengancam, menakut-nakutkan atau cuba menyekat akses internet,” kata Payne.

Payne berkata memandangkan tapisan sendiri semakin bertambah lazim, persatuan seperti CJA boleh melaksanakan peranan penting dengan bersuara bagi pihak rakan setugas yang tidak berupaya melaksanakan hak mereka atau melindungi diri daripada gangguan. – Bernama