Anda di sini

Remaja perempuan ditahan selama tempoh diperkenan Sultan Selangor

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang didapati bersalah membunuh ibu tirinya dua tahun lepas, ditahan selama tempoh mendapat perkenan Sultan Selangor.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti laporan akhlak remaja terbabit yang disediakan Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat Abdul Gani Jemani.

Pada 15 April lepas, remaja itu dan kakak tirinya, Zahidah Ahmad, 27, didapati bersalah membunuh Tanziah Zainuddin, 72, di sebuah rumah di Lorong Kiyai Sujak 20B, Taman Sri Wangi, Kapar, Klang pada kira-kira jam 5.30 petang 14 Julai 2012 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada prosiding sebelum ini, Akhtar menjatuhkan hukuman mati ke atas Zahidah dan menangguhkan hukuman terhadap remaja perempuan berkenaan sehingga semalam  untuk mendengar laporan akhlak kerana ketika kejadian, dia berusia 16 tahun.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata meskipun mendapati remaja itu melakukan kesalahan tersebut dengan penuh kesedaran tanpa sebarang paksaan atau dorongan, namun mahkamah terikat dengan peruntukan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 disebabkan tertuduh berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Mahkamah mendapati tertuduh mengambil bahagian sama aktif dengan tertuduh kedua (Zahidah), jadi tidak sepatutnya saya kira umur menjadi satu fakta untuk melakukan kesalahan ini.

“Jika diberi sama rata, sepatutnya dia patut dihukum mati tetapi melihat pada umur, undang-undang tidak membenarkan hukuman mati, ia jelas di bawah Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 dan saya terikat dengan peruntukan ini,” katanya.

Menyentuh laporan akhlak, Akhtar berkata remaja itu dilihat membesar dalam struktur keluarga yang tidak sempurna kerana tidak mempunyai tempat bergantung selepas ibu bapa kandungnya meninggal dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan itu tidak menunjukkan sebarang perkara yang boleh menyebabkan remaja itu melakukan kesalahan tersebut terutama apabila dia dipelihara oleh mangsa.

“Ibu kandungnya adalah isteri keempat dan selepas kedua ibu bapa kandungnya meninggal dunia, dia tidak ada tempat bergantung secara tetap. Tanggungjawab menjaganya diambil oleh ibu tirinya dan adik-beradik tiri yang lain.

“Dia dipelihara secara sempurna, diberi kasih sayang dan tidak ada sebab kenapa dia kena buat (membunuh ibu tirinya),” katanya.

Sejumlah 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie manakala remaja perempuan itu diwakili peguam Tan Teck Yaw.

Akhbar sebelum ini melaporkan kematian mangsa, yang juga seorang guru agama, pada awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut. — Bernama

Advertisement