Anda di sini

Pembangkang berat sebelah kerana enggan gazet kawasan perhimpunan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sebenarnya bersikap berat sebelah apabila enggan mengizinkan kawasan di negeri tadbiran mereka digazetkan sebagai kawasan perhimpunan untuk protes sesuatu isu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun mereka (kerajaan negeri pimpinan pembangkang) dilihat bersungguh-sungguh untuk mengadakan perhimpunan namun apabila dipelawa untuk memberikan kawasan bagi tujuan itu, mereka menolak.

“Kita hairan di negeri yang diperintah mereka apabila Kementerian Dalam Negeri meminta kawasan tertentu untuk digazetkan mereka sendiri menolak…ini bermakna mereka hanya boleh ‘berkokok’ tetapi di peringkat pelaksanaan dari segi menggazetkan kawasan di sekitar kawasan pentadbiran mereka, mereka tidak izinkan ertinya mereka ‘double standard’ (berat sebelah).

“Sebagai contoh Stadium Shah Alam sepatutnya digazetkan sebagai tempat untuk mereka berhimpun namun ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri (Selangor),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel jenayah pemerdagangan orang di sini, semalam.

Beliau berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 me-rangkumi kebenaran menggazetkan kawasan tertentu sebagai lokasi perhimpunan dan kerajaan negeri pakatan pembangkang seharusnya memberikan alasan kukuh mengapa mereka enggan membenarkan kawasan di negeri pentadbiran mereka digazetkan.

“Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengizinkan…mereka sepatutnya dapat memberikan jawapan konkrit bagi penolakan itu. Mereka hanya mampu bercakap di Parlimen sedangkan apabila di peringkat pelaksanaan, lain yang mereka lakukan,” kata-nya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyata-kan adanya perbincangan yang menyentuh hak kebebasan berhimpun dalam pertemuan dua hala antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, kelmarin.

Sementara itu, mengulas kenyataan Obama bahawa Malaysia perlu mengamalkan kesamarataan kepada semua rakyat dan golongan minoriti bagi meningkatkan kemakmuran dan pembangunan negara, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah lama memberikan peluang tersebut kepada golongan berkenaan.

“Kami (kerajaan) memberikan peluang sama rata kepada bukan Islam dan saya fikir kerajaan Malaysia (agama rasminya Islam) bersikap adil terhadap (penganut) semua agama dan saya tidak fikir wujud sebarang halangan untuk mengamalkan apa juga kepercayaan dan agama.

“Saya fikir sikap prejudis atau pendapat berat sebelah terhadap agama lain mesti dielakkan…kita perlu menghormati agama lain bagi memastikan orang lain menghormati agama kita,” katanya. — Bernama

Advertisement