Anda di sini

Pekerja pasar raya menipu majikan didenda RM3,000, tiga bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang pekerja sebuah pasar raya ibarat untung sekarung, rugi seguni apabila didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini petang semalam kerana kesalahan menipu majikan berhubung kehilangan secara salah 20 kampit beras yang dijual  untuk kepentingan peribadi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbang beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Raydian Ngau Anyie, 23, dari Taman Tunku di sini didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yag memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada 19 April lalu seorang pengurus sebuah pasar raya di sini membuat laporan polis berhubung kehilangan 20 kampit beras yang dihantar pihak pembekal.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa semasa membuat pengiraan beras yang dihantar pekerja syarikat pembekal, beliau mendapati jumlah yang diterima pihaknya tidak mencukupi.

Jumlah yang sepatutnya diterima adalah 100 kampit beras jenis 3A Boys (Premium Rice) dengan setiap satu kampit seberat 10kg sedangkan diterima hanya 80 kampit, justeru beliau merasakan ada unsur penipuan semasa proses penerimaan dan penyerahan beras tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, polis menangkap tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

Hasil siasatan lanjut mendedahkan baki 20 kampit beras yang tidak diterima syarikat pengadu dijual tertuduh kepada seorang individu lain untuk kepentingan peribadi.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan ia kesalahan pertamanya.

Manakala dalam satu kes berkaitan, tiga pekerja sebuah syarikat pembekal beras masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu pasar raya sama berhubung kehilangan secara salah 20 kampit beras tersebut.

Juti Ngadan, 50, dari Debak, Betong, Rusmin Sek, 31, dari Sungai Sebubok Hulu Niah dan Hillary Nyanggau, 32, dari Sungai Maong, Kanowit didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh menipu pasar raya terbabit dengan memperdaya berhubung penghantaran 100 kampit beras sedangkan jumlah yang dihantar hanya 80 kampit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada 19 April lalu di pasar raya terbabit di Wisma Pelita di sini.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan untuk pengurusan kes dan perbicaraan lanjut ditetapkan pada 11 Jun depan.

Manakala ketiga-tiga tertuduh masing-masing dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement