Anda di sini

NGO Cina tubuh parti bela nasib rakyat P. Pinang

Advertisement

GEORGE TOWN: Empat puluh empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina di Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Penang Front Parti (P.F.P) bagi membela nasib rakyat Pulau Pinang.

Pengerusi Penaja Datuk Go Chu Tiong berkata pihaknya akan menghantar permohonan mendaftarkan parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam minggu ini bagi membolehkan calon parti berkenaan bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gelu-gor yang dijadual 25 Mei.

“Tujuan kami menubuhkan P.F.P adalah untuk memperjuang masa depan rakyat negeri ini bagi memastikan kekayaan negeri dan pembangunan diagih sama rata agar dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Apa yang kerajaan DAP buat di negeri ini sekarang  hanyalah menjual tanah untuk membina rumah mewah dan dijual kepada pembeli luar negara sedangkan rakyat tempatan terbeban dengan masalah ekonomi serta cukai pembangunan meningkat dan tarif air juga akan me-ningkat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Empat puluh empat NGO berkenaan terdiri daripada persatuan tokong-tokong Cina, pertubuhan kebajikan dan kelab rekreasi di Pulau Pinang.

Go berkata sebanyak 2,000 anggota menyertai 44 NGO berkenaan, dan pihaknya percaya dengan sokongan daripada akar umbi yang mahu melihat perubahan di Pulau Pinang, P.F.P mampu memberikan saingan kepada calon DAP pada pilihan raya kecil Bukit Gelugor nanti.

“Sasaran kami adalah untuk menyingkirkan DAP di Pulau Pinang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membela nasib rakyat negeri ini. P.F.P adalah sebuah parti yang mesra Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata tiga calon telah dikenal pasti untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi berjuang membela nasib rakyat Pulau Pinang yang dilihat tertindas selepas tampuk pemerintahan DAP mengambil alih negeri ini.

“Jika P.F.P diterima, kami akan meletakkan calon bertanding dalam 15 hingga 17 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP berikutan nahas jalan raya di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.

Karpal Singh memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi, me-ngalahkan calon BN Teh Beng Yeam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei sebagai hari pengundian untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor manakala hari pencalonan 12 Mei.

Hari pengundian awal telah ditetapkan pada 21 Mei. — Bernama

Advertisement