Anda di sini

KRT bimbing rakyat menuju ke arah pembangunan: Alexander Vincent

Advertisement

KANOWIT: Kewujudan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini diharapkan dapat membantu aktiviti masyarakat terutama penduduk luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata peranan KRT sangat penting bagi membimbing rakyat ke arah pembangunan sosial yang membawa faedah.

“Kawasan DUN Ngemah sebenarnya masih ketinggalan dari segi politik, ekonomi, insfrastruktur dan sosial.

“Justeru, kita mengharapkan KRT yang ditubuhkan mampu mengubah persepsi rakyat mengenai perkara tersebut,” katanya ketika melancarkan KRT Sungai Bejait dan Pusat Jentera Guna Sama (mesin padi) di Rumah Andin Ngalang, Sungai Bejait di sini.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sibu dengan kerjasama KRT Sungai Bejait, Kanowit.

Hadir sama Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, Pegawai JPNIN Bahagian Sibu Susan Bennet, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Ngemah Jelani Ajang, Penghulu Barnabas Angki, Penghulu Juin Adan, Penghulu Ijam Tuah dan Tuai Rumah Andin.

Sementara itu, Alexander memaklumkan bahawa kontraktor sedang berusaha menyediakan kemudahan elektrik bagi kawasan yang belum mendapat kemudahan tersebut di Ngemah.

“Kita berharap ia dapat dinikmati seboleh-bolehnya sebelum perayaan Gawai Dayak tahun ini seperti janji pihak kontraktor berkenaan.

“Diharap penduduk berkenaan bersabar menunggu kemudahan tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat di kawasannya agar terus menyokong Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan pembangunan berterusan dapat dilaksanakan.

Pada majlis itu, Alexander mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk Rumah Andin dan RM5,000 bagi KRT Sungai Bejait menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement