Anda di sini

Koleksi kenderaan antik idaman hati

Advertisement

Koleksi motosikal antik kamaljit

KETIKA ramai anak muda gilakan kenderaan terkini dan moden, masih ada yang meminati kereta model lama atau antik yang memerlukan perbelanjaan besar untuk diubah suai dan dipulihara.

Namun bagi mereka yang benar-benar cintakan barangan antik, perbelanjaan besar tidak menjadi masalah asalkan mereka mendapat kereta yang diidamkan.

Ini kerana ada antara penggemar kenderaan antik sanggup membuat pinjaman peribadi di institusi kewangan demi untuk merealisasikan minat masing-masing.

Lebih menarik, penggemar kenderaan antik ini mencari di serata tempat alat ganti seperti enjin, lampu dan aksesori lain.

Kesukaran mencari alat ganti memerlukan kesabaran di kalangan penggemarnya kerana ada yang perlu diimport dari luar negara kerana tidak lagi dijual di negara ini.

Ada antara penggemar kenderaan antik sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk mengubah suai kenderaan seperti yang diimpikan.

Kamaljit Singh, salah seorang peminat kenderaan antik berkata, minatnya mulai bercambah pada usia 15 tahun.

“Ketika itu ayah beli motosikal Honda C70.

“Jadi saya mula menanam minat untuk membeli motosikal antik,” katanya.

Disebabkan datuknya memiliki Vespa keluaran 1969, dia meminta izin untuk membaiki motosikal klasik itu yang terbiar di halaman rumah.

“Datuk saya memberi keizinan, jadi saya membaiki motosikal itu dan sejak itu saya terus berminat dengan kenderaan antik,” ujarnya.

Volkswagen lama

TERLALU MINAT

Kamaljit yang merupa-kan peguam dan pemilik sebuah restoran di Kuching menjelaskan, disebabkan terlalu meminati kenderaan antik, kini lebih 20 motosikal dan basikal antik keluaran 1963 hingga 1984 menjadi koleksi peribadinya.

Antara yang dimiliki termasuk Suzuki U70, Suzuki GS550 dan basikal yang digunakan posmen sekitar 1980-an.

Minat mendalam terhadap kenderaan antik membuat Kamaljit membeli Volkwagen VW1300 sekitar 2009.

Kereta klasik itu yang dibeli dengan harga RM10,000 daripada orang tempatan terus menjadi pujaan Kamaljit sehingga hari ini.

Menurutnya lagi, keba-nyakan kenderaan antik yang diubah suai bukan untuk dijual kerana ia mempunyai nilai tersendiri.

“Kepuasan bagi saya mengubah suai kenderaan yang rosak menjadi lebih segar seperti baharu.

“Saya bukan me-ngubah suai kenderaan untuk dijual, biarpun ditawarkan harga tinggi,” kata Kamaljit.

KESAYANGAN: Kamaljit bergambar bersama kereta Volkwagen VW1300 miliknya.

Kamaljit menambah, kenderaan antik sebenarnya mempunyai nilai tinggi kerana kini penggemarnya semakin meningkat.

“Sekarang tidak sukar untuk membaik pulih atau mendapatkan alat ganti bagi kenderaan antik,” jelasnya.

“Saya beli kereta ini pada 2009 dengan harga RM10,000 yang mana keadaannya ketika itu memerlukan banyak pengubahsuaian.

“Kira-kira RM10,000 saya belanjakan untuk membaiki enjin dan mengecat semula badan kereta,” jelasnya.

Berikutan hobinya mengumpul kenderaan antik, Kamaljit menyifatkan ahli keluarganya banyak memberi galakan menyebabkan minatnya semakin menjadi-jadi.

“Keluarga saya memang menyokong apa yang saya buat (menyimpan kenderaan antik) kerana hobi saya ini merupakan aktiviti sihat,” kata Kamaljit.

Advertisement