Anda di sini

KKWPK sedia bekerjasama dengan NGO perluas khidmat kepada masyarakat

Advertisement

KUCHING: Sebagai langkah memperluas perkhidmatan kepada masyarakat, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) bersedia menjalin kerjasama lebih erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kerjasama antara kementerian dan NGO penting untuk memastikan golongan kurang berkemampuan dapat terus dibantu.

Setakat ini menurutnya, Sarawak mempunyai tidak kurang daripada 200 persatuan berkaitan kebajikan dan wanita termasuk Komuniti Perwani 1Malaysia yang dilancarkan Januari lepas dan memiliki 455 kumpulan serta 7,250 ahli.

“Kerjasama antara kita dan NGO merupakan langkah terbaik untuk membantu kementerian menjejaki golongan sasar termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat sayap Puteri dan Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di pejabatnya semalam.

Golongan memerlukan jelasnya termasuk keluarga miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya, pesakit terlantar dan warga emas.

“Saya yakin golongan wanita dapat bertindak lebih efektif dalam berurusan dengan golongan memerlukan,” ujarnya.

Seramai 26 ahli sayap Wanita dan Puteri SPDP mengadakan kunjungan hormat semalam dengan diketuai Naib Ketua Wanitanya Kijan Toynbee.

“Kita diberi taklimat mengenai peranan, peluang dan perkhidmatan yang disediakan kementerian serta jabatan di bawahnya (Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga),” kata Ketua Wanita SPDP Satok Manjeet Sidhu.

Menurut Manjeet, setiap ahli yang mendengar taklimat sudah pasti mendapat maklumat berguna dan lebih yakin untuk menjejaki masyarakat yang memerlukan bantuan di kawasan masing- masing.

Advertisement