Anda di sini

Kesedaran wanita jalani pemeriksaan mamogram masih rendah: Rohani

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran wanita untuk menjalani pemeriksaan mamogram bagi mengesan kanser payudara masih rendah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini kerana ramai wanita malu untuk menjalani pemeriksaan itu, selain beranggapan lebih mudah untuk tidak mengetahui jika mereka menghidapi penyakit yang menjadi pembunuh nombor satu golongan wanita di negara ini.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM29.2 juta pada 2007 sebelum menaikkannya kepada RM25 juta dalam Bajet 2013 sebagai subsidi untuk menggalakkan lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan itu.

“Mamogram percuma diberikan kepada mereka berusia 40 hingga 70 tahun dengan pendapatan di bawah RM5,000, manakala mereka dengan pendapatan melebihi jumlah itu diberikan subsidi RM50,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Patient Resource Centre oleh Yayasan Kesihatan Pink Ribbon di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Rohani berkata kupon subsidi itu pada awalnya diberikan secara terbuka misalnya semasa karnival, bagaimanapun cara itu didapati tidak menepati sasaran apabila lebih banyak kupon itu dibuang.

“Mungkin mereka ingat sebab dapat seperti ‘tiket wayang’ menyebabkan semua ambil mudah sebab itu kita ambil keputusan untuk memberi kupon subsidi hanya kepada mereka yang hendak menjalani pemeriksaan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Rohani berkata kira-kira 171,500 wanita menjalani saringan mamogram di 62 pusat mamogram swasta yang berdaftar dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, sejak 2007 sehingga Mac tahun ini.

“Program ini berjaya mengesan 204 wanita dengan kes kanser payudara positif, 157,831 kes adalah normal manakala 13,601 orang lagi dirujuk untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Selain itu, Rohani mencadangkan Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan statistik terkini yang lebih terperinci memandangkan data yang diguna pakai buat masa ini dikumpulkan enam tahun lepas.

Beliau berkata data tahun 2008 itu menyatakan 3,209 kes baharu kanser payudara dilaporkan, dengan 19 peratus daripada jumlah itu sudah memasuki tahap empat, namun kajian yang dilakukan organisasi bukan kerajaan mendapati angka sebenar lebih tinggi iaitu hampir 5,000 kes.

“Sebab itu kita memerlukan statistik lebih terperinci, bukan sahaja meliputi usia atau kawasan paling ramai pesakit tetapi juga jumlah pesakit bebas kanser yang tidak pernah diambil kira pada statistik terdahulu.

“Bila ada statistik baharu senang kita nak pantau penyakit ini walaupun sehingga kini penyebab kanser masih menjadi tanda tanya kepada kita, namun sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita hadapi,” katanya. — Bernama

Advertisement