Anda di sini

Kerajaan yakin pekebun tidak jual tanah walau harga getah tidak stabil

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin pekebun kecil getah tidak akan menjual tanah kebun mereka walaupun harga komiditi itu mengalami penurunan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Beliu berkata daripada 440,000 pekebun kecil di negara ini, sebahagian daripadanya adalah pekebun tradisi dan mereka tidak mudah dipujuk untuk menjual tanah mereka.

“Mereka terdiri daripada kalangan pekebun kecil yang agak berusia dan biasanya kumpulan ini sangat menghargai tanah dan tidak mudah tersalah langkah untuk segera menjual tanah walaupun harga getah jatuh kerana pada mereka tanah adalah warisan yang harus dipertahankan,” katanya pada sidang Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah yang ingin tahu usaha kementerian bagi menghalang pekebun kecil daripada menjual tanah akibat penurunan harga getah.

Noriah berkata kementerian itu bagaimanapun tidak memandang ringan usaha pihak tertentu yang mungkin menggunakan faktor harga getah yang tidak stabil ketika ini bagi mempengaruhi golongan itu untuk menjual tanah yang diusahakan mereka.

Noriah berkata kementeriannya melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sentiasa turun padang untuk menghulurkan bantuan seperti memberi subsidi dan insentif kewangan kepada pekebun kecil.

Beliau berkata kementerian dan LGM juga sedang merangka strategi untuk meningkatkan rantaian pasaran antara pengilang dan pekebun kecil bagi menjamin keuntungan golongan pekebun.

“Ia dilakukan dengan memendekkan rantaian pasaran sedia ada bagi mengurangkan diskaun antara harga Free On Board (FOB) dengan harga di ladang yang lebih menguntungkan,” katanya. — Bernama

Advertisement