Anda di sini

‘Kakitangan Bank Negara’ lesapkan wang RM20,000

Advertisement

Julian Tan

Ahli perniagaan terima panggilan telefon daripada bank itu bahawa terdapat pihak cuba godam akaun banknya

KUCHING: Wang simpanan seorang ahli perniagaan melebihi RM20,000 lenyap begitu sahaja akibat terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan wang melalui panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai kakitangan Bank Negara.

Lelaki dalam lingkungan usia 50-an itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada bank berkenaan pada pertengahan April bahawa terdapat pihak yang cuba menggodam akaun banknya.

Mangsa yang enggan identitinya didedahkan, turut mendakwa bahawa individu terbabit memintanya mengeluarkan kesemua wang dalam akaun bank sebelum disuruh memasukkan wang simpanannya ke beberapa akaun pegawai khas bank untuk disimpan buat sementara waktu.

Penyamar itu turut mereka-reka teori konspirasi dan memberi amaran kepada mangsa untuk tidak berjumpa dengan mana-mana pegawai bank kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan terhadap kakitangan bank berhubung rasuah.

Ahli Parlimen Stampin Julian Tan yang mengiringi mangsa ke One Stop Centre, Jalan Simpang Tiga bagi membuat laporan polis memberitahu, berdasarkan apa yang diberitahu mangsa, individu itu amat licik dan mempunyai jalan cerita yang begitu meyakinkan.

“Begitu meyakinkan sehingga mangsa akur dan mengikut arahan.

“Dalam kes ini mangsa diberitahu bahawa seseorang cuba menggodam akaun dan mangsa diminta mengeluarkan wangnya dan memasukkan wang itu ke dalam akaun beberapa orang yang didakwa pegawai khas Bank Negara, untuk disimpan,” katanya.

Tan memberitahu, kes-kes penipuan seumpama itu amat membimbangkan kerana hampir setiap hari ada orang yang jatuh ke perangkap sindiket penipuan wang.

Beliau turut mengingatkan bahawa bank tidak pernah meminta pemilik akaun untuk memasukkan wang ke mana-mana akaun kakitangannya atau mendedahkan maklumat peribadi, maklumat akaun dan kata-kata laluan.

“Jika anda menerima panggilan atau e-mel seperti itu, sila hubungi bank itu secara terus atau lebih baik, kunjungi cawangan bank terdekat,” katanya.

Advertisement