Anda di sini

JKKK berperanan laksana pembangunan rakyat

Advertisement

Penubuhannya strategi wujud masyarakat berdikari, proaktif laksana pembangunan, kata Harden

SRI AMAN: Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung dan rumah panjang merupakan strategi mewujudkan masyarakat berdikari dan proaktif dalam melaksanakan pembangunan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata JKKK merupakan sebuah badan pentadbir di kawasan yang memainkan peranan penting.

“Adalah amat penting pemimpin JKKK diberi latihan kemahiran dalam segala aspek penubuhan, pentadbiran, pengurusan dan pembangunan bagi membentuk JKKK berwawasan, berdikari, produktif dan maju.

“Kepimpinan dan pengurusan organisasi yang cekap adalah faktor utama dan kritikal untuk meningkatkan pembangunan kampung yang lebih progresif dan tersusun,” katanya pada Program Membara Gotong-Royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA) Parlimen Sri Aman di sini kelmarin.

Menurutnya, pemimpin masyarakat dan JKKK merupakan ‘Focal Point’ dalam berhubung dan berbincang dengan kerajaan kerana projek dan bantuan yang disediakan kerajaan akan disalur, diterima dan diuruskan oleh mereka.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, pemimpin masyarakat perlu lebih peka tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Oleh itu, pemimpin masyarakat harus mencerminkan suara hati dan kehendak masyarakat kampung dengan mengetepikan kepentingan sendiri,” ujarnya.

Katanya, pembangunan pesat dicapai pada masa ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih kerajaan dan pemimpin-pemimpin berwibawa yang dipilih oleh rakyat.

“Justeru, penglibatan dan penyertaan menyeluruh daripada rakyat dalam pembangunan akan terus diberi keutamaan dan perhatian,” katanya.

Turut hadir Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelthon Lumpoi, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Sawing Sumar, Pengerusi Jawatankuasa Chapel Kaunselor Andar Suntai, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Pada majlis itu, Harden menyampaikan geran berjumlah RM10,000 kepada jawatankuasa chapel berkenaan untuk tujuan menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement