Anda di sini

Garis panduan keselamatan pengangkutan di IPT perlu dipertingkatkan, kata RAIS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini disaran supaya meningkatkan garis panduan keselamatan dalam pengendalian pengangkutan awam termasuk bas membabitkan pelajar mereka.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pendekatan itu perlu bagi mengelak insiden tidak diingini seperti kemalangan daripada berlaku.

Rais, yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata garis panduan itu bukan hanya menitikberatkan tentang pemandu bas sahaja, tetapi turut meliputi keadaan fizikal dan proses penyelenggaraan kenderaan tersebut yang perlu dikendalikan dengan baik serta mengikut jadual.

“Selain itu, seorang pemandu yang tidak cukup tidur pada malam sebelumnya, tidak seharusnya dibenarkan memandu bas, selain mereka yang mengambil dadah perlu menjalani pemeriksaan,” katanya semasa ditemui di Hospital Sungai Buloh di sini, semalam.

Beliau sebelum itu menziarahi tiga pelajar UIAM yang terlibat dalam kemalangan selepas bas milik universiti yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke kawasan takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di KM25.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, kelmarin.

Rais memaklumkan tiga pelajar itu yang sebelum ini dilaporkan kritikal, kini dalam keadaan stabil, manakala hampir 10 pelajar dibenarkan keluar dari hospital.

Mengulas tentang kejadian itu, Rais berkata beliau telah meminta UIAM untuk menyediakan laporan penuh manakala garis panduan tahap keselamatan pengangkutan universiti itu akan diteliti semula.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di UIAM, justeru, ia adalah proses untuk kita memperkukuh sistem pengendalian kenderaan,” katanya.

Semalam, bas milik UIAM yang dinaiki pelajar warga tempatan berusia antara 19 dan 24 tahun terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke Bukit Cerakah, Shah Alam untuk program ukhwah Kelab Student Facilitating Front UIAM.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan tiga pelajar kritikal, lima pelajar parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas cedera ringan. — Bernama

Advertisement