Anda di sini

Buaya bedal 4 anjing

Advertisement

MENGENA: Buaya jantan berjaya ditangkap JPS Miri sebelum dilepaskan ke sungai Pandaruan di Limbang semalam.

DITANGKAP: Buaya jantan dipercayai membaham anjing berjaya ditangkap.

Buaya seberat 88kg, sepanjang 9 kaki 8 inci dipercayai baham anjing-anjing itu berjaya ditangkap kakitangan JPS Miri

LIMBANG: Misteri kehilangan empat ekor anjing sejak beberapa hari lalu di kawasan sebuah syarikat perkapalan Tai Chung Hwa di Buangsiul di sini terjawab dengan penangkapan seekor buaya jantan dipercayai membaham anjing-anjing berkenaan.

Buaya seberat 88 kilogram dan sepanjang sembilan kaki lapan inci itu akhirnya tumpas di tangan sepasukan kakitangan Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) Miri pagi kelmarin sebaik satu daripada empat pancing yang dipasang mengena.

Menurut kakitangan JPS Miri, keempat-empat pancing berumpan daging ayam itu dipasang sejak Sabtu lalu sebaik menerima maklumat mengenai kelibat sang bedal bersantai di kawasan tebing sungai berhampiran syarikat perkapalan itu.

Mereka berkata, beberapa ekor buaya kerap dilihat bersantai di tebing sungai berkenaan dan seekor daripadanya bersaiz besar dan membimbangkan pekerja syarikat perkapalan terbabit.

Sebelum ini, pekerja syarikat perkapalan berasa hairan dengan kehilangan beberapa ekor anjing di kawasan tersebut.

“Kami syak kehilangan anjing berkenaan ada kaitan dengan kehadiran beberapa ekor buaya yang kerap bersantai di kawasan tersebut,” kata seorang pekerja syarikat perkapalan itu.

Risau dengan kehadiran buaya itu, dia memaklumkan perkara tersebut kepada JPS Miri sebelum mereka datang dan memasang pancing berumpankan ayam Sabtu lalu.

“Seekor buaya berjaya ditangkap pagi kelmarin sebaik salah satu pancing yang dipasang mengena,” katanya.

Buaya terbabit ditangkap sekitar jam 7.30 pagi kelmarin sebelum dilepaskan semula ke Sungai Pandaruan di sini.

Katanya buaya berkenaan terpaksa dilepaskan kerana Limbang belum mempunyai kawasan kurungan buaya kecuali di Miri.

“Kami tidak boleh membawa haiwan ini ke Miri kerana terpaksa melintas sempadan dan terpaksa melepaskannya semula ke Sungai Pandaruan,” katanya.

Advertisement