Anda di sini

SS Fighters Muaythai bukti keunggulan

Advertisement

LASAK: Shafilaluddin (kiri) mengasak Abdul Arif Mulok dari Muaythai Kenyalang dalam kategori regu 51 hingga 54kg pro di Kuching, semalam.

Menangi sembilan daripada 15 pertarungan Sempena Karnival Belia 1Malaysia

KUCHING: SS Fighters Muaythai menguasai Kejohanan Muaythai Sempena Karnival Belia 1Malaysia Peringkat Negeri Sarawak apabila memenangi sembilan daripada 15 pertarungan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan di sini semalam.

Penguasaan SS Fighters Muaythai bermula dengan kemenangan Dolphina Walter Tony yang memenangi kategori regu wanita amatur mengalahkan Shima Bidit dari Kelab Muaythai Lundu.

Mohd Danyal Mohd Iqmal menambah keceriaan SS Fighters Muaythai dengan memenangi kategori regu umur 13 hingga 16 tahun amatur menewaskan Abdul Hadi dari Muaythai Kenyalang.

Kategori regu 63.5 hingga 67kg amatur menyaksikan Amos Winter menghadapi tentangan sengit Hardi Harun dari KPS sebelum menang dengan kiraan mata.

Bagaimanapun, SS Fighters Muaythai menerusi Sharizal Mohd Saffri terkandas dalam kategori regu umur 13 hingga 16 tahun amatur apabila tewas kepada peninju Kelab Muaythai Bintawa (TMG), Mustaza Sidi.

Mohammad Khairuddin Hasbi memberi kemenangan kepada SS Fighters Muaythai dengan mengalahkan Fifi Kio dari Kelab Muaythai Lundu dalam kategori regu 57 hingga 60kg amatur.

SS Fighters Muaythai yang mempertaruhkan Khairul Akmal Khan tidak berdepan halangan besar memenangi kategori regu 71kg keatas amatur dengan mengalahkan Sofi Ashrul dari Muaythai Kenyalang.

Peringkat pro menyaksikan SS SS Fighters Muaythai menguasai kesemua merangkumi regu 67 hingga 71kg, regu 63.5 hingga 67kg, regu 48 hingga 51kg dan regu 51 hingga 54kg.

Peninju SS Fighters Muaythai memenangi kategori terbabit Andi Hian (regu 67 hingga 71kg), Muhd Fakhri Nasrullah (regu 63.5 hingga 67kg), Mohd Wazirul Naziman (regu 48 hingga 51kg) dan Shafilaluddin Nordin (regu 51 hingga 54kg).

Prinsipal SS Fighters Muaythai Gym, Sulaiman Salleh berkata kejayaan dicapai SS Fighters Muaythai banyak didorong latihan berterusan peninju dan dilatih jurulatih dari Thailand.

“Kami mempunyai jurulatih Thailand untuk melatih para peninju,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dua peninju SS Fighters Muaythai akan dihantar mengikuti latihan di Thailand selama sebulan bermula 2 Mei hingga 2 Jun.

Advertisement