Anda di sini

Obama melawat Masjid Negara, sebuah daripada monumen terkenal di Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini melawat Masjid Negara, sebuah daripada monumen terkenal di Malaysia, melambangkan pendekatan beliau dalam mendekati dunia Islam.

Acara pertama beliau pada Ahad dengan melawat ke masjid itu menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini, dengan majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.

Presiden Amerika Syarikat ke-44 itu, yang menjawat jawatan pada 2009 dan kemudian dipilih semula bagi penggal kedua pada 2012, disambut Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan jawatankuasa masjid sebaik tiba dengan menaiki limousin presiden di hadapan pintu masuk utama masjid di Jalan Perdana, di sini pada jam 9.40 pagi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selaku menteri pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam Rashad Hussain.

Lawatan bersejarah tiga hari beliau ke negara Asia Tenggara ini – sebahagian daripada siri jelajah Obama ke empat negara Asia – adalah yang pertama oleh Presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966.

Masjid Negara, yang boleh menampung 15,000 jemaah, adalah lambang aspirasi Persekutuan Malaysia yang baharu dibentuk ketika itu dan satu penghormatan kepada Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj atas usaha murni beliau ke arah kemerdekaan negara.

Masjid berkenaan, yang dibina pada 1965, menandakan keagungan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan setiap tahun menerima kunjungan banyak pelancong beragama Islam dan bukan Islam.

Menara setinggi 73 meter dan berbumbung utama konkrit berbucu 16 adalah antara ciri utama keunikan masjid ini yang menarik kedatangan pelancong. — Bernama

Advertisement